Muslihat masa
TIDAK jauh dari zaman sekarang, jangka hayat manusia akan terhenti sehingga 25 tahun. Dipantau menerusi jam digital yang tertanam di lengan masing-masing, mereka berhak hidup lebih lama jika mampu membeli masa.
Pada zaman ini, masa ialah mata wang yang digunakan dalam sistem jual beli, mahupun ganjaran bagi sebarang pekerjaan. Golongan yang kaya mampu hidup lebih lama dengan paras rupa yang tidak dimakan usia, sementara yang miskin bergantung hidup dari hari ke sehari dan saat demi saat.
Seperti Will Salas, seorang pekerja kilang dari Dayton yang menjadi buruan polis atau pada era ini dipanggil penyimpan masa, kerana didakwa membunuh.
Salas dituduh merompak jangka hayat seorang hartawan, Harry Hamilton yang ditemui mati di bawah jambatan. Walaupun dia tidak bersalah kerana menerima hadiah daripada Hamilton, tiada siapa yang mahu percaya akibat birokrasi. Hamilton ialah jutawan manakala Salas golongan bawahan.
Bermulalah pelarian Salas yang ditemani Sylvia Weis, anak golongan berada yang dikenalinya semasa dia bermewah-mewah di kawasan elit New Greenwich.
Pada mulanya Weis adalah tebusan Salas, namun perhubungan mereka bertukar kepada misi yang sama, yakni memperjuangkan strata kehidupan yang lebih adil.
Jika anda merasakan premis In Time adalah asli seratus peratus, sila rujuk filem Logan's Run (1976), di mana manusia hanya dibenarkan hidup sehingga usia 30 tahun sebelum dijejaki untuk mati.
Manakala kisah pelarian yang tidak bersalah sudah banyak dipaparkan dalam genre sains fiksyen; antaranya Minority Report (2002) dan The Island (2005).
Di tangan Andrew Niccol, dunia In Time adalah futuristik, tetapi intipatinya mengingatkan kita kepada kisah klasik seperti Robin Hood - perompak yang membantu golongan susah; serta Bonnie and Clyde - sepasang penyamun dengan unsur romantisme.
Filem ini mengingatkan saya kepada filem lain arahan Niccol, Gattaca (1997), tentang bagaimana seseorang yang kuat secara genetik mampu ditewaskan oleh kebijaksanaan sains ciptaan manusia.
In Time berkongsi konsep serupa, di mana mereka yang dilahirkan miskin tidak selamanya tunduk di bawah kekuasaan golongan kaya.
Niccol yang turut bertindak selaku penulis skrip berjaya membuatkan penonton percaya dengan apa jua tipu muslihatnya.
Mungkin timbul sedikit persoalan di sana sini tentang mekanisme sebenar peralihan masa. Sebagai contoh, bagaimana jam digital boleh tertanam di lengan sejak lahir atau perkongsian usia yang boleh dilakukan hanya melalui sentuhan.
Namun, perincian-perincian kecil seperti itu mudah diabaikan penonton kerana isi ceritanya yang pintar secara makro. Dengan set, props, efek khas serta skrip yang baik, kita benar yakin akan kewujudan dunia pasca moden ciptaan Niccol.
Justin Timberlake membuktikan dia bukan sekadar daya penarik penonton muda untuk ke pawagam. Keupayaannya di dalam filem ini jauh lebih besar daripada pesonanya sebagai penyanyi pop dan bekas anggota kumpulan 'N Sync.
Dia tidak memiliki ciri-ciri wira seperti Daniel Craig sebagai James Bond, tetapi dia seperti Tom Hanks, orang biasa yang mempunyai aura semangat lelaki sejati.
Dia memberikan warna kepada peranan Salas dengan penuh stail, kelihatan di antara miskin dan kaya, serta selamat dan merbahaya pada masa yang sama.
Amanda Seyfried mengimbangi lakonan Timberlake dengan keserasian sebagai Weis. Karakter menarik itu melalui transisi daripada seorang gadis kaya yang lemah kepada penegak keadilan.
Sementara itu, Cilian Murphy sebagai polis penjaga masa dan Alex Pettyfer sebagai peragut yang dipanggil Minuteman, menjadi antara pelakon sokongan paling menyerlah.
In Time adalah sebuah filem yang menghiburkan. Ia membenarkan fikiran kita menepis segala logik menerusi pengembaraan Salas dan Weis, serta manusia-manusia yang berusia 25 tahun selamanya.
Mungkin filem ini tidak akan menjadi karya yang bakal dikenang sepanjang zaman, tetapi ia berbaloi dengan harga tiket yang dibayar. Inilah kelebihan Hollywood yang harus dipelajari pembikin filem kita untuk 'make believe' sesuatu alam atau dimensi yang sebenarnya dongeng semata-mata.
No comments:
Post a Comment