Thursday, November 17, 2011

IMMORTALS (2011)

Sekadar manisan


FILEM Immortals ibarat menikmati sepinggan besar manisan.


IMMORTALS bukanlah naskhah Greek pertama yang dimanipulasikan Hollywood pada dekad ini. Kita pernah disajikan dengan Troy (2004), Clash of the Titans (2010), malah mitos itu dibawakan ke dalam era moden seperti adaptasi buku Percy Jackson and the Olympians: The Lightning Thief (2010).

Begitupun, Immortals lebih banyak dikaitkan dengan 300 (2006), bukan hanya kerana diseliakan pengedar dan penerbit yang sama, tetapi corak persembahan. Yang membezakan 300 ialah kisah pertelingkahan dua tamadun manusia, manakala Immortals mengaitkan hubungan manusia dengan dewa-dewa.

Ceritanya berlaku di Hellenas dengan kewujudan seorang raja bernama Hyperion yang bertindak mengikut undang-undang sendiri. Tidak percaya kepada Tuhan kerana sejarah silam, dia mempunyai bala tentera yang sanggup berada di bawah telapak kakinya semata-mata untuk terus hidup.

Hyperion dalam misi memburu sejenis panah sakti yang dipanggil Epirus Bow. Panah itu mampu membebaskan sekumpulan Titans yang terpenjara berabad lamanya di celah-celah dinding Mount Tartaros. Hyperion mahu menggunakan dendam Titans terhadap Dewa Zeus untuk melancarkan peperangan.

Kemunculan seorang lelaki, Theseus merencatkan angan-angan Hyperion. Theseus bukan saja kuat, tetapi dia tidak tunduk kepada arahan. Kematian ibunya di tangan Hyperion menjadikan Theseus lebih perkasa, tanpa mengetahui dia adalah pilihan Dewa Zeus untuk menyelamatkan keadaan.

Saya tidak arif tentang mitos Greek, tetapi seperti apa yang saya baca di Internet, Immortals tidak jujur terhadap perincian sebenar kisah dongeng itu.

Biarpun awal-awal lagi penerbit menjelaskan filem ini hanya berdasarkan mitos Greek secara longgar, namun peminatnya berang kerana penulis skrip dan pengarah hanya menggunakan nama-nama watak tanpa mengikut sahsiah dan latar belakang sebenar.

Sebagai contoh, Theseus dipanggil anak luar nikah dan seorang petani. Mengikut buku, dia ialah anak raja Athens atau Aegean. Dewa Zeus pula tidak pernah membunuh, manakala Titans adalah sekumpulan makhluk yang pintar, tidak bercawat dan liar seakan monyet seperti yang digambarkan.

Itu antara perbandingan dan perdebatan yang tercetus. Pada saya, ini bukanlah perkara baru di Hollywood. Lesen kreatif pembikin filemnya terlalu besar. Mereka mampu mengubah apa saja, bukan sekadar fakta dan sejarah, atas nama seni dan hiburan. Mereka ingin mencipta dunia lain dan mahu penonton percaya.

Sebagai pengarah, Tarsem Singh (The Cell, 2000) beruntung kerana dibantu kumpulan pereka produksi yang baik dan efisien.

Mereka mampu menafsirkan dunia mitos dengan penuh gah menerusi set, kostum dan ilustrasi efek yang menawan. Setiap bingkai diperincikan dengan teliti, meskipun terdapat beberapa babak latar atau pemandangan yang kelihatan sedikit 'arty' seperti lukisan.

Walau bagaimanapun, menonton Immortals ibarat menikmati sepinggan besar manisan. Walaupun kita habis memakannya, kita akan tetap berasa lapar. Ertinya filem ini sekadar indah di luaran, tetapi tidak cukup berisi. Perjalanan filem bergerak dalam kadar yang agak membosankan.

Benar, ada adegan pertarungan yang menangkap perhatian. Ada juga lelaki bertubuh sasa tidak berbaju yang sentiasa mundar-mandir sebagai gula-gula mata buat penonton wanita. Namun ia belum cukup untuk menutup kekurangan penceritaan dan sifat-sifat karakter yang tidak membangun.

Mungkin untuk memudahkan penonton memahami jalan cerita, penulis skrip Charley Parlapanides dan Vlas Parlapanides mengambil pendekatan yang lurus. Tiada kejutan atau sebarang misteri, secara asasnya kita sudah boleh mengagak apa yang akan berlaku dan bagaimana ia berakhir selepas 15 minit pertama.

Prestasi lakonan berada pada tahap biasa saja. Henry Cavill, pemegang watak baru filem Superman, sekadar kelihatan hebat dari segi fizikal. Dia hanya berdiri tampan sebagai Theseus tetapi emosinya sukar dicapai, lebih-lebih lagi semasa babak dia memberikan 'big speech' kepada pasukan tentera.

Cavill tidak menyerap semangat keperwiraan seperti yang dilakonkan Russell Crowe dalam Gladiator (2000) misalnya. Lebih-lebih lagi apabila dia digabungkan dengan aktor senior seperti Mickey Rourke. Cuma Rourke sudah menjadi stereotaip apabila terlalu selesa dengan karakter antagonis.

Saya tidak berniat untuk membangkitkan soal kaum, tetapi pemilihan Freida Pinto sebagai Phaedra, gadis suci Oracle yang boleh menilik masa depan, agak janggal. Kerana ini kisah mitos Greek, kehadirannya sebagai pelakon yang memiliki darah India seperti tidak kena pada tempat.

Tidak banyak yang boleh diperkatakan mengenai persembahannya, kecuali saya merasakan Pinto dipilih kerana pengarah atau penerbit mahukan lebih variasi.

1 comment:

NKLi G'KaR said...

Andai ini komen anda, sekurang2nya pembikinnya sudah berjaya kerana dikatakan filem ini cuba mengadaptasi nuansa lukisan2 kegemilangan Renaissance. Walaupun kurang logik, tp pemilahan Freida msh sesuai kalau dibanding jajahan Rom dan Yunan yang tiada tolak banding luasnya.