Thursday, December 29, 2011

WE BOUGHT A ZOO (2011)


'Membeli' ketenangan


HUBUNGAN kekeluargaan dan persahabatan yang erat juga sebagai intipati utama dalam filem ini.


Pengarah terkenal Cameron Crowe 'menghilangkan' diri selepas Elizabethtown (2005) gagal menerima perhatian pawagam dan pengkritik. Kembali aktif tahun ini menghasilkan dokumentari Pearl Jam Twenty dan The Union (mengenai Elton John), dia juga membawakan filem We Bought A Zoo.

Filem ini berdasarkan kisah benar seorang wartawan dari Britain, Benjamin Mee. Walaupun Crowe mengubah latarnya kepada Southern California, itu tidak mengubah jalan cerita dan pengalaman sebenar duda beranak dua ini dalam mendapatkan semula kehidupan selepas kematian isteri.

Anaknya, Dylan dibuang sekolah selepas tiga kali melakukan kesalahan besar, termasuk mencuri. Manakala Rosie masih meminta sarapan yang sering disediakan ibu mereka. Terdesak untuk menggembirakan anak-anak dan mahu meninggalkan memori lama, Mee membeli sebuah rumah di pinggir bandar.

Rumah itu sebenarnya adalah pusat pengurusan zoo yang terbiar. Meskipun berdepan hutang yang banyak dan wang simpanan yang semakin menyusut, namun dibantu beberapa pekerja, Mee bertekad membuka semula zoo itu; seperti mana dia mahu membuka buku baru dalam kehidupannya.

Membaca sinopsis seimbas lalu, We Bought A Zoo mempunyai motif yang sama seperti filem-filem bertemakan haiwan yang lain, antaranya Hachiko (2009) atau Dolphin's Tale (2011). Naskhah sebegini mempunyai kecenderungan memerah simpati dan air mata penonton dengan cara mudah.

Begitupun, Crowe bijak untuk tidak memanipulasikan perasaan secara murahan. Secara peribadi, saya merasakan filem ini lebih dekat dengan penonton dewasa, meskipun ia berkisar kepada zoo dan cuba menarik perhatian kanak-kanak dengan syot haiwan-haiwan yang comel.

Untuk dua puluh minit pertama, filem ini seakan mencari rentak yang sesuai. Penonton tidak mampu 'menggenggam' apa yang ingin diberikan Crowe, di antara sebuah naskhah melankolik dengan percubaan-percubaan comel pelakon berusia tujuh tahun, Maggie Elizabeth Jones dalam mengambil hati penonton.

Diselang-selikan dengan jenaka Thomas Haden Church sebagai abang Mee dan watak ejen hartanah yang banyak cakap lakonan J.B Smoove, penonton hanya mula merasai momentum yang kukuh sebaik saja mereka berpindah rumah.

We Bought A Zoo tidak sebaik atau senostalgik dua drama itu. Namun Crowe masih berupaya menangani naskhah ringan dengan penuh kasih sayang. Penonton mudah berasa hangat dan tersentuh menerusi skrip yang sentimental, tetapi tidak memualkan dan dibumbu sedikit humor.

Tidak dinafikan lakon layar tulisan Crowe dan Aline Brosh McKenna (The Devil Wears Prada, 2006) berpegang kuat kepada momen sinematik Hollywood. Contoh jelas, babak penamat apabila berduyun-duyun pengunjung datang ke zoo dan sanggup memanjat batang pokok yang tumbang akibat hujan ribut.

Penonton mempunyai pilihan untuk mencebik atau berasa sebak pada babak ini, tetapi untuk filem bertemakan inspirasi, penghujung sebegitu adalah perlu.

Matt Damon adalah pilihan yang tepat untuk watak Benjamin Mee. Dia mengisi karakter itu dengan pesona seorang bapa, lari jauh dari labelnya sebagai ejen Jason Bourne atau lelaki lurus berkaca mata dalam The Informant! (2009).

Damon merupakan salah seorang aktor gred A yang sesuai menggalas apa jua peranan, dalam apa jua bentuk fizikal, seperti lelaki yang beruban dan gempal. Dia mengadunkan perasaan ceria dan derita dalam dos yang secukupnya, mengelakkan persembahannya kelihatan cheesy.

Biarpun lakonan Elle Fanning tidak menyerlah seperti dalam Super 8 (2011), dia tetap dilihat sebagai aktres yang berpotensi besar. Lebih-lebih lagi dia tidak tenggelam di samping pelakon sepopular Scarlett Johansson yang meninggalkan aura seksinya untuk watak ketua penjaga zoo yang selekeh, Kelly Foster.

Barangkali We Bought A Zoo sekadar sebuah lagi filem kekeluargaan dengan penghujung yang menggembirakan.

Namun, tidak salah rasanya untuk kita menonton naskhah yang mengangkat semangat insani ala tipikal Hollywood untuk berasa damai dan tenang dalam kekecohan dunia hari ini.

Thursday, December 22, 2011

SONGLAP (2011)


Masih ada harapan

Songlap membuatkan saya berasa lega. Kehadirannya yang menutup tirai 2011 ibarat membuka lembaran baru untuk industri perfileman tempatan.

Syabas kepada pengarah Effendee Mazlan dan Fariza Azlina Isahak kerana menghadiahkan Malaysia dengan sebuah naskhah yang sangat baik. Sudah lama saya tidak berasa benar-benar puas apabila menonton filem Melayu.

Songlap berkisar kepada kehidupan dua adik-beradik yang mewakili golongan marhain di Kuala Lumpur. Seawal babak pertama, penonton sudah dapat menangkap bahawa Ad tidak menggemari pekerjaan yang dilakukannya. Ad membantu abangnya, Am dalam urusan jual beli bayi.

Ad mahu memilih jalan hidup yang lain untuk mendapatkan wang. Dia tidak tahu menari shuffle, tetapi rela belajar demi hadiah yang lumayan. Sedangkan Am lebih senang menghabiskan masa dengan berjudi.

Sebagai abang, Am mahu Ad menerima apa saja yang diberikan kepadanya. Tetapi selaku remaja memberontak, Ad sering saja menunjukkan protes. Misalnya berkawan dengan penagih dadah seperti Razak dan mencuri duit tabung untuk bertemu pelacur bernama Rita yang sebenarnya ibu mereka.

Tidak sukar untuk memahami jalan cerita Songlap, terima kasih kepada pengarah yang menjadikan ia mudah dihadam dan diikuti. Begitupun, jiwanya agak kompleks keranaSonglap adalah sebuah filem yang amat menekan perasaan, tetapi sangat seronok untuk disaksikan.

Syafie Naswip ialah seorang pemain yang tidak perlu bersusah-payah meyakinkan penonton bahawa dia aktor hebat. Di bahunya, terpikul beban Ad yang sangat berat tetapi diladeni dengan cemerlang.

Dia mempamerkan setiap gerak dan pertuturan dalam emosi yang sangat minimum, tetapi berkesan dan mengagumkan. Lihat babak ketika dia bertemu Rita di bilik hotel untuk mencari teman bersembang. Matanya menterjemahkan perasaan rindu terhadap kasih sayang seorang ibu yang tidak pernah dirasainya.

Warna dan mood babak ini mengingatkan saya kepada filem-filem Wong Kar Wai (rujuk In the Mood for Love, 2000 atau My Blueberry Nights, 2007). Saya amat menyanjungi bakat Normah Damanhuri, bukan saja sebagai Rita tetapi sebagai pelakon yang mampu memainkan apa saja peranan dengan baik.

Sedar atau tidak, Normah adalah seorang bintang yang mampu survive dalam apa jua keadaan - drama atau filem, naskhah bijak atau kurang bijak, material untuk festival atau tidak - dia sentiasa tampil dengan persembahan yang memberangsangkan.

Shaheizy Sam juga memahami karakter Am dengan jelas serta mentafsirkan setiap perasaan dengan tepat. Penonton dapat merasai amarah dan tekanannya untuk terus hidup dalam dilema, kerana dia tahu sampai bila dia harus menjual manusia demi perut sendiri.

Babak dia menengking Hawa, meminta supaya Hawa menyerahkan bayinya, adalah refleksi kehidupan Am yang dibuang ibu. Am menjerit sambil memukul-mukul pahanya sendiri, membayangkan derita bagaimana sukar menjadi insan yang tidak mendapat hak kehidupan yang sepatutnya.

Effendee dan Fariza membawakan dunia kotor anak-anak jalanan dalam dunia sinematik yang sangat indah. Penonton mungkin berasa jijik, dalam masa sama tersayat hati kerana mereka adalah mangsa keruntuhan institusi keluarga.

Saya menyukai cara pengarah memberitahu penonton tentang sesuatu perkara tanpa pelakon menyebutkannya. Sebagai contoh, Ad mula mengetahui siapa Hawa apabila melihat gadis itu memiliki jaketnya yang tertinggal pada malam kematian Razak.

Sama halnya dengan adegan bapa Hawa mengoyakkan foto keluarga sehingga keratan itu meninggalkan gambar mereka berdua. Terdapat juga satu babak yang sangat subtle, di mana bapa Hawa merenung gambar anaknya dalam teksi di celah-celah semak dalam kegelapan malam.

Omar Abdullah yang memeran peranan bapa tidak memerlukan perbuatan fizikal untuk kelihatan kejam. Tetapi riak wajah dan bahasa tubuhnya sudah cukup melahirkan perasaan benci. Penonton seakan bersorak apabila Hawa sendiri yang menjatuhkan 'hukuman' terhadap bapanya di penghujung cerita.

Sebagai pelakon baru, Sara Ali tidak mengecewakan. Dia boleh menjadi lebih baik jika lebih berpengalaman. Namun, beraksi di samping pelakon-pelakon besar, Sara tidak tenggelam. Persembahannya melengkapi yang lain.

Sejujurnya, Songlap bagi saya adalah sebuah filem Melayu yang hampir sempurna. Tiada apa yang ingin saya adukan. Kerja kamera dan suntingannya kemas. Latar muziknya juga kena dengan emosi. Malah saya amat bersetuju dengan pilihan lagu semasa babak kemuncak kejar-mengejar kereta.

Penceritaan bergerak baik. Ada ketikanya sedikit perlahan. Tetapi pada ruang-ruang itulah pengarah mengembangkan cerita dan watak-wataknya.

Barangkali, Songlap berakhir tidak seperti yang diharapkan sesetengah penonton.

Ad dan Hawa meninggalkan Kuala Lumpur yang menakutkan. Sedang Am masih berlari-lari tanpa arah yang pasti. Saya melihat penamat itu sebagai satu simbolik yang melegakan. Seperti industri perfileman tempatan. Sekurang-kurangnya kita masih ada harapan.

Thursday, December 15, 2011

ARISAN! 2 (2011)


Medan falsafah, hiburan

PADA tahun 2003, Nia Dinata menghasilkan sebuah filem bertajuk Arisan! yang mencetuskan fenomena dalam segala segi - baik dari aspek kutipan panggung, kejayaan besar di Festival Filem Indonesia (FFI) termasuk Filem Terbaik, sehinggalah kepada subjek homoseksual yang menjadi tabu.

Sekali imbas, Arisan! mengisahkan perhubungan lima individu yang mempunyai konflik dalam kehidupan masing-masing. Berlatarkan kehidupan sosial di Jakarta, arisan atau dalam bahasa pasar bermaksud 'main kutu', ialah medan untuk mereka mencurah isi hati dan berbagi rasa.

Selepas lapan tahun, pengarah wanita itu muncul dengan filem sekuel.

Pasangan Sakti dan Nino kini membawa haluan masing-masing. Mereka memiliki cinta yang baru, namun masih menyimpan perasaan terhadap satu sama lain. Sakti bercinta dengan suami orang, manakala Nino dengan jejaka muda yang kurang matang.

Lita yang pernah cuba dijodohkan dengan Sakti, kini ibu tunggal yang memelihara seorang anak lelaki bernama Talu. Tetap pekat dengan loghat Batak, dia juga seorang peguam yang sedang berjinak-jinak dalam arena politik.

Andien pula bergelar janda kaya selepas suaminya meninggal dunia dan diiktiraf sebagai wanita aristokrat yang disegani. Kemunculan Dr. Joy, ahli bedah plastik dengan pelaburnya, Ara serta penulis biografi berpengaruh, Yayuk Asmara memeriahkan lingkungan sosial terbaru.

Arisan! 2 dimulai dengan babak Mei Mei, seorang wanita yang ditinggal suami, berada di sebuah pulau terpencil. Di sana, dia akrab dengan Tom, doktor tampan yang merawatnya melalui pelbagai ramuan serta tenaga yang disalurkan.

Mei Mei juga berkenalan dengan Molly, gadis pelayan bar yang hanya tinggal tiga tahun untuk hidup. Akibat menetap di sana terlalu lama dan sanggup berulang-alik, sahabat-sahabatnya mula sangsi. Mei Mei sebenarnya mengidap kanser limfoma dan mencuba perubatan alternatif selepas kimoterapi tidak berkesan.

Arisan! 2 tidak hanya menampilkan persahabatan di antara Sakti, Nino, Mei Mei, Lita dan Andien serta hal-hal peribadi yang terjadi di antara mereka. Kerana latar watak-watak itu sudah diperincikan, filem kedua ini membicarakan perkara lain seperti pergaulan golongan elit, masalah cinta serta perjalanan spiritual.

Jika filem yang pertama ditampilkan dengan gaya muda, lantang dan berwarna-warni, sambungannya ini lebih dewasa dan serius. Selaku penulis dan pengarah, Nia masih mengekalkan unsur romantis dan satira bagi menggambarkan gaya hidup golongan atasan di Jakarta.

Cara Nia mewujudkan karakter-karakter ciptaannya begitu hidup dan mengesankan. Meskipun banyak sub-plot yang ingin dibahas dan membayangi kisah utama, namun penonton masih boleh merasai hubungan emosional di antara lima watak penting, terutamanya Mei Mei.

Barangkali kerana itu, lakonan Cut Mini paling menyerlah. Masalah terbaru ini, mengenai ajal dan kematian, lebih berat berbanding konflik rumah tangga dan kegagalan memiliki cahaya mata dalam filem pertama.

Namun, itu tidak bermakna lakonan yang lain kurang bagus. Cuma Tora Sudiro, Surya Saputra, Aida Nurmala dan Rachel Maryam sangat selesa dengan peranan masing-masing.

Begitupun, saya sangat tertarik dengan lakonan Sarah Sechan sebagai Dr. Joy. Dia pintar menuturkan dialog-dialog sinikal dalam cara yang bersahaja, lengkap riak wajah dan bahasa tubuh.

Arisan! 2 terhasil sebagai karya yang tidak hanya untuk seronok-seronok, tetapi sebuah refleksi kehidupan - apa yang ingin dicapai dan diperolehi dalam hidup pada penghujungnya, apatah lagi watak-watak utamanya kini meniti usia 40-an.

Filem ini mungkin tidak menawarkan sesuatu yang baru atau groundbreaking idea. Mungkin ada juga yang melihatnya sekadar sebuah extended version dari filem pertama. Tetapi, saya mengagumi keupayaan pembikin filem seberang seperti Nia yang menghadirkan kisah-kisah realiti yang dipercayai penonton.

Tanpa menghukum gaya hidup mereka yang liberal dan terbuka, Arisan! 2 mempunyai pakej lengkap sebagai filem yang menghiburkan, dalam masa sama mampu berfalsafah dan mempunyai nilai estetika seni yang tinggi.

*original link: UTUSAN MALAYSIA ONLINE

Thursday, December 8, 2011

OMBAK RINDU (2011)


Semangat melodrama Melayu

SAYA masih ingat kata-kata Osman Ali beberapa tahun lalu. Menurutnya, dia suka bikin cerita yang sangat dekat dengan masyarakat kita, yang seronok ditonton oleh ahli keluarganya di kampung.

Ini dapat dilihat menerusi karya-karya awalnya seperti telefilem Tollgate Girl (2001) dan Atas Nama Cinta (2003). Malah filemnya seperti Anak Halal (2007) dan Cun! (2011) juga mudah difahami kerana jiwa sosiobudaya Melayu yang amat kuat.

Justeru, penerbit Sharad Sharan membuat keputusan yang tepat apabila memilih Osman sebagai pengarah kepada adaptasi novel terlaris, Ombak Rindu tulisan Fauziah Ashari.

Ombak Rindu adalah sebuah naskhah melodrama seperti yang selalu kita tonton dalam slot Cerekarama. Ia mengisahkan Izzah, seorang gadis kampung yatim piatu yang dijual bapa saudara sendiri untuk dijadikan pelacur. Lelaki pertama yang menidurinya ialah Hariz, usahawan muda pewaris syarikat ternama.

Kerana simpati dengan Izzah yang merayu supaya dibawa pulang, Hariz membeli wanita itu untuk dijadikan orang suruhan. Izzah juga memohon agar mereka berkahwin dan berjanji tidak akan menuntut sebarang hak sebagai isteri, asalkan perhubungan mereka halal di sisi agama.

Keikhlasan Izzah melembutkan hati Hariz, tetapi ketika cinta mula berputik mereka berdepan dilema. Hariz bakal disatukan dengan Mila Amylia, seorang pelakon popular yang juga rakan sepermainannya sewaktu kecil. Pernikahan rahsia Hariz dan Izzah juga dihidu ibu Hariz yang bongkak, Datuk Sufiah.

Saya menyifatkan Osman sebagai pencerita yang baik. Di tangannya, Ombak Rindu terjalin kemas memandangkan dia harus menterjemah novel setebal 563 halaman kepada filem berdurasi dua jam. Saya sempat membaca bukunya sebelum menonton dan sejujurnya, saya lebih gemarkan versi filem.

Tanpa niat memperkecilkan penulis asal, saya merasakan banyak sub-plot dan karakter tambahan yang menjadikan fokus penceritaan sedikit rumit dan tersasar. Lakon layar tulisan Armantono dan Osman menyelamatkan cerita ini dari komplikasi dan 'membuang' terlalu banyak kebetulan yang direka.

Mereka memansuhkan beberapa watak dan situasi mengikut kesesuaian; misalnya kisah adik perempuan Hariz yang disisih keluarga atau kisah ibu tiri Hariz yang menjadi tempat Izzah mengadu. Kehilangan sub-plot sebegini sedikit pun tidak menjejaskan cerita, malah ia menjadi lebih ringkas dan realistik.

Menyentuh tentang realistik, Osman dan Armantono juga mengubah beberapa latar watak. Sebagai contoh, watak bapa saudara dan ibu saudara Izzah di dalam novel berniat jahat ingin menjualnya kerana benci dan terbeban.

Tetapi versi filem lebih 'memanusiakan' karakter apabila Pakcik Taha terpaksa menjual Izzah kerana terdesak. Dia inginkan wang bagi biaya kos perubatan, walaupun isterinya membantah Izzah dipaksa bekerja di Kuala Lumpur.

Gerak filem ini berada dalam ruang yang sederhana - tidak terlalu perlahan, tidak juga terlalu pantas. Cuma pada beberapa babak, saya berasa sedikit terganggu dengan lagu tema mendayu yang diulang-ulang seakan mahu memaksa penonton berasa pilu.

Taktik serupa pernah dilakukan dalam Lagenda Budak Setan (2010) arahan dan terbitan Sharad Sharan. Saya fikir lebih sesuai jika lagu lengkap vokal itu digantikan dengan iringan muzik instrumental saja.

Terdapat beberapa kelemahan teknikal seperti gambar tidak fokus dan suntingan yang melompat - mungkin kerana beberapa babak terpaksa dibuang akibat kesuntukan masa. Namun kekurangan itu dimaafkan kerana dibayar dengan lakonan cemerlang barisan pemain.

Secara ideal, Maya Karin bukanlah bayangan dari novel untuk watak Izzah. Namun, aktres ini membuktikan bahawa bakat melangkaui jati dirinya sebagai wanita kacukan Melayu-Jerman. Dia membuatkan kita lupa siapa Maya yang sebenar dan percaya apa yang ditonton itu ialah Izzah.

Watak ini mungkin kelihatan stereotaip dan membosankan secara lisan. Tetapi, Maya berupaya memberikan dimensi melalui pertuturan, riak wajah dan bahasa matanya. Walaupun lenggok mengajinya sedikit terkeluar dari bunyi konvensional, itu bukanlah masalah besar. Izzah adalah lakonan terbaik Maya setakat ini.

Aaron Aziz yang memeran watak Hariz mempamerkan lakonan bersahaja. Sifat bengis dan kasarnya sudah biasa disaksikan, seperti dalam KL Gangster (2011), namun sisi lembutnya menjadikan dia hero pujaan terbaru. Aaron menghidupkan pesona Hariz sebagai lelaki berego tinggi tetapi masih sensitif.

Pelakon pembantu seperti Bront Palarae, Zaidi Omar dan Azizah Mahzan melengkapkan kehebatan persembahan. Lakonan Azizah sebagai Datuk Sufiah ibarat satu penghargaan kepada watak wanita kejam ala Mak Dara dari filem Ibu Mertuaku (1962).

Saya teringatkan perkara ini semasa babak dia menyaksikan Izzah berjalan di dalam hujan, lengkap bunyi petir dan cahaya kilat.

Syabas diucapkan kepada Lisa Surihani yang berani mencabar kebolehannya melalui peranan Mila. Lakonannya mewakili fitrah manusia yang angkuh dengan status dan dilanda amarah apabila gagal mendapatkan sesuatu yang dihajati. Dia tidak dibenci secara total, malah diberi simpati oleh penonton.

Ombak Rindu memenuhi fungsi dan emosinya sebagai sebuah soap-opera Melayu. Pembikinannya moden, tetapi meminjam semangat sedu-sedan filem era 1970-an dan 1980-an seperti siri Esok karya Tan Sri Jins Shamsudin. Ini adalah satu pujian untuk Osman Ali.

Thursday, December 1, 2011

50/50 (2011)

50/50 markah penuh
Oleh SYAZWAN ZAKARIAH
syazwan_zakariah@astro.com.my
SEKALI imbas, kanser dan komedi bukanlah satu gabungan yang ideal. Kanser ialah subjek yang sangat sensitif, harus ditangani berhati-hati dan tidak sesuai untuk dijadikan bahan jenaka. Silap percaturan ia boleh menyinggung perasaan.
Filem 50/50 bagaimanapun bukanlah yang pertama mencuba kombinasi tersebut. Judd Apatow terlebih dulu melakukannya menerusi Funny People (2009), tetapi kurang berhasil.
Filem itu menerima reaksi yang pelbagai dan tidak termasuk dalam senarai komedinya terbaik seperti The 40 Year Old Virgin (2005) atau Knocked Up (2007). Tidak mudah untuk membuatkan penonton ketawa atau berasa selesa terhadap perkara yang dikaitkan dengan kematian.
50/50 mengisahkan Adam, penyelidik di Seattle Public Radio yang berusia 27 tahun. Dia digambarkan sebagai seorang lelaki yang jujur, patuh kepada peraturan dan tidak merokok, malah tidak memandu kereta kerana menganggapnya sebagai merbahaya.
Hidupnya berubah apabila disahkan mengidap sejenis barah tulang belakang. Di sisi Adam, terdapat beberapa individu penting sepanjang dia melalui proses penerimaan dan penyembuhan.
Dia mendapatkan kaunseling daripada doktor muda, Katherine. Dalam masa sama hubungannya dengan teman wanita, Rachel menemui jalan buntu. Adam juga mula menghargai perhubungannya dengan ibu bapa, persahabatan dengan Kyle dan mendapat kawan baru semasa menjalani kemoterapi.
Bayangkan jika anda berada di tempat Adam - diberitahu secara tiba-tiba akan ajal yang menanti ketika usia masih muda dan belum bersedia untuk mati.
Di sinilah terletaknya keberanian dan kekuatan skrip tulisan Will Reiser. Berdasarkan kisahnya sendiri yang pernah bertarung dengan tumor, Reiser cuba melawan ketakutan dan kegelapan itu dengan humor.
Setiap karakter dipersembahkan dengan pembinaan yang dinamik. Mungkin terdapat sedikit kekasaran pada dialog atau jenaka yang lucah, tetapi ia segera dimaafkan kerana watak-watak ini diisi dengan emosi manusia yang sebenar.
Menonton 50/50 seolah-olah menyaksikan sebuah dokumentari seorang pesakit kanser dan kehidupan di sekelilingnya.
Reiser bertuah kerana pengarah, Jonathan Levine (The Wackness, 2008) memahami naskhah asal. Dia berjaya mengimbangi elemen jenaka dan dramatik, membuatkan penonton tidak rasa bersalah untuk ketawa, juga membuatkan penonton tidak berasa malu untuk mengalirkan airmata.
Di tangan Reiser dan Levine, mereka tidak memanipulasi kesedihan secara berlebihan. Tetapi tidak juga mengusulkan jenaka yang keterlaluan. Filem ini memberi perspektif yang tulus bagaimana kanser dapat mengubah cara seseorang melihat kehidupan dalam skop yang lebih meluas.
Perkara terbaik mengenai 50/50 ialah pemilihan Joseph Gordon-Levitt sebagai Adam. Peranan itu sempurna di bahunya dengan pendekatan yang sangat semulajadi.
Dia membawa penonton merasai apa yang dilalui Adam. Bermula daripada berita kanser, sikap tenang dan optimisnya sehinggalah kemuncak ketakutannya. Menyaksikan survival Adam untuk terus hidup membuatkan penonton seperti mengenali dan memahami perasaannya.
Justeru, saya tidak dapat membayangkan jika tiada seorang pun yang tidak mengalirkan air mata atau sekurang-kurangnya tersentuh dengan penderitaan Adam. Seorang penonton lelaki di sebelah saya menangis teresak-esak tanpa segan-silu. Malah pada beberapa babak, pawagam tiba-tiba menjadi sunyi sepi.
Saya akui tidak meminati Seth Rogen dan gaya jenakanya yang menjengkelkan. Namun, watak Kyle sangat secocok, dibantu keserasian dengan Gordon-Levitt. Apatah lagi dalam kehidupan sebenar, Rogen memang sahabat baik kepada Reiser. Jadi tiada orang lain yang lebih tepat untuk melakonkannya.
Bintang pembantu lain turut memberi sokongan yang baik terhadap filem ini, terutamanya Anjelica Huston yang memberikan cukup empati menerusi peranan ibu serta watak Katherine, kaunselor muda yang tidak berpengalaman lakonan Anna Kendrick.
Saya agak hairan mengapa aktres berbakat hebat sepertinya menerima tawaran berlakon dalam siri filem Twilight (2008-2012), tetapi 'dosa'nya itu sudah ditebus menerusi lakonan bertaraf calon Oscar dalam Up In The Air (2009).
Saya menonton filem ini dua kali di pawagam kerana dua sebab. Pertama, kerana saya benar-benar menyukainya dan kedua, kerana saya cuba mencari kelemahan. Malangnya, saya gagal menemui sebarang kecacatan kerana ini adalah sebuah filem 'kecil' yang berjiwa besar dan penceritaannya jelas.
50/50 ialah sebuah kisah yang jujur tentang kehidupan yang tidak semestinya indah, tetapi tidak menekan penonton. Ya, kita pasti menangis, tetapi ia tidak membuatkan kita sedih, sebaliknya meninggalkan pawagam dengan perasaan positif dan penuh inspirasi.
Saya mengharapkan filem ini dipandang pada musim anugerah akan datang, terutamanya untuk Gordon-Levitt. Filem ini mendapat markah penuh kerana dia.