Thursday, December 15, 2011

ARISAN! 2 (2011)


Medan falsafah, hiburan

PADA tahun 2003, Nia Dinata menghasilkan sebuah filem bertajuk Arisan! yang mencetuskan fenomena dalam segala segi - baik dari aspek kutipan panggung, kejayaan besar di Festival Filem Indonesia (FFI) termasuk Filem Terbaik, sehinggalah kepada subjek homoseksual yang menjadi tabu.

Sekali imbas, Arisan! mengisahkan perhubungan lima individu yang mempunyai konflik dalam kehidupan masing-masing. Berlatarkan kehidupan sosial di Jakarta, arisan atau dalam bahasa pasar bermaksud 'main kutu', ialah medan untuk mereka mencurah isi hati dan berbagi rasa.

Selepas lapan tahun, pengarah wanita itu muncul dengan filem sekuel.

Pasangan Sakti dan Nino kini membawa haluan masing-masing. Mereka memiliki cinta yang baru, namun masih menyimpan perasaan terhadap satu sama lain. Sakti bercinta dengan suami orang, manakala Nino dengan jejaka muda yang kurang matang.

Lita yang pernah cuba dijodohkan dengan Sakti, kini ibu tunggal yang memelihara seorang anak lelaki bernama Talu. Tetap pekat dengan loghat Batak, dia juga seorang peguam yang sedang berjinak-jinak dalam arena politik.

Andien pula bergelar janda kaya selepas suaminya meninggal dunia dan diiktiraf sebagai wanita aristokrat yang disegani. Kemunculan Dr. Joy, ahli bedah plastik dengan pelaburnya, Ara serta penulis biografi berpengaruh, Yayuk Asmara memeriahkan lingkungan sosial terbaru.

Arisan! 2 dimulai dengan babak Mei Mei, seorang wanita yang ditinggal suami, berada di sebuah pulau terpencil. Di sana, dia akrab dengan Tom, doktor tampan yang merawatnya melalui pelbagai ramuan serta tenaga yang disalurkan.

Mei Mei juga berkenalan dengan Molly, gadis pelayan bar yang hanya tinggal tiga tahun untuk hidup. Akibat menetap di sana terlalu lama dan sanggup berulang-alik, sahabat-sahabatnya mula sangsi. Mei Mei sebenarnya mengidap kanser limfoma dan mencuba perubatan alternatif selepas kimoterapi tidak berkesan.

Arisan! 2 tidak hanya menampilkan persahabatan di antara Sakti, Nino, Mei Mei, Lita dan Andien serta hal-hal peribadi yang terjadi di antara mereka. Kerana latar watak-watak itu sudah diperincikan, filem kedua ini membicarakan perkara lain seperti pergaulan golongan elit, masalah cinta serta perjalanan spiritual.

Jika filem yang pertama ditampilkan dengan gaya muda, lantang dan berwarna-warni, sambungannya ini lebih dewasa dan serius. Selaku penulis dan pengarah, Nia masih mengekalkan unsur romantis dan satira bagi menggambarkan gaya hidup golongan atasan di Jakarta.

Cara Nia mewujudkan karakter-karakter ciptaannya begitu hidup dan mengesankan. Meskipun banyak sub-plot yang ingin dibahas dan membayangi kisah utama, namun penonton masih boleh merasai hubungan emosional di antara lima watak penting, terutamanya Mei Mei.

Barangkali kerana itu, lakonan Cut Mini paling menyerlah. Masalah terbaru ini, mengenai ajal dan kematian, lebih berat berbanding konflik rumah tangga dan kegagalan memiliki cahaya mata dalam filem pertama.

Namun, itu tidak bermakna lakonan yang lain kurang bagus. Cuma Tora Sudiro, Surya Saputra, Aida Nurmala dan Rachel Maryam sangat selesa dengan peranan masing-masing.

Begitupun, saya sangat tertarik dengan lakonan Sarah Sechan sebagai Dr. Joy. Dia pintar menuturkan dialog-dialog sinikal dalam cara yang bersahaja, lengkap riak wajah dan bahasa tubuh.

Arisan! 2 terhasil sebagai karya yang tidak hanya untuk seronok-seronok, tetapi sebuah refleksi kehidupan - apa yang ingin dicapai dan diperolehi dalam hidup pada penghujungnya, apatah lagi watak-watak utamanya kini meniti usia 40-an.

Filem ini mungkin tidak menawarkan sesuatu yang baru atau groundbreaking idea. Mungkin ada juga yang melihatnya sekadar sebuah extended version dari filem pertama. Tetapi, saya mengagumi keupayaan pembikin filem seberang seperti Nia yang menghadirkan kisah-kisah realiti yang dipercayai penonton.

Tanpa menghukum gaya hidup mereka yang liberal dan terbuka, Arisan! 2 mempunyai pakej lengkap sebagai filem yang menghiburkan, dalam masa sama mampu berfalsafah dan mempunyai nilai estetika seni yang tinggi.

*original link: UTUSAN MALAYSIA ONLINE