Thursday, January 26, 2012

THE VIRAL FACTOR (2012)


Tiada faktor-x

Oleh SYAZWAN ZAKARIAH
syazwan_zakariah@astro.com.my


MESKI tanpa faktor-x, filem ini masih seronok untuk ditonton.


The Viral Factor dibuka dengan babak pasukan polis daripada International Disease Commission(IDC) cuba membawakan seorang saintis dan keluarganya keluar dari Jordan. Dianggotai Jon dan diketuai oleh Sean, misi mereka diserang, lalu mencetuskan pertempuran ala filem Black Hawk Down(2001).

Jon kemudian ditembak di kepala dan Sean didedahkan sebagai pembelot yang menjadi dalang di sebalik serangan tersebut.

Saintis itu dilarikan ke Malaysia dengan tujuan mencipta penawar bagi sejenis virus cacar merbahaya. Sean dan konco-konconya mahu meraih kekayaan menerusi penjualan vaksin dan ubat kepada virus yang bakal mereka sebarkan bermula di perairan pantai timur negara ini.

Jon terselamat, tetapi peluru di dalam tengkoraknya tidak mampu dikeluarkan, menyebabkan dia mempunyai jangka hayat yang tidak panjang. Kunjungannya ke Beijing untuk bertemu ibu yang lumpuh membuka rahsia keluarga. Dia sebenarnya mempunyai seorang abang yang ditinggalkan bersama bapanya.

Plot seterusnya memperkenalkan penonton dengan Rachel Kan, seorang pakar virus yang menaiki penerbangan yang sama ke Kuala Lumpur. Cubaan menangkap Rachel digagalkan oleh Jon, yang kemudian mengetahui bahawa penjahat itu ialah abangnya, Man Yeung yang baru dibebaskan dari penjara.

Yeung mempunyai seorang anak, Champ yang tinggal bersama datuknya yang berkaki tempang. Selepas melalui beberapa 'siri' kebetulan, Yeung dan Jon bersepakat untuk menghapuskan Sean dan kumpulannya. Nyawa Rachel dan Champ dalam bahaya dan penyebaran virus itu harus dihentikan.

Dengan bajet lebih RM60 juta dan menjadi produksi termahal yang dikendalikannya, Dante Lam (The Beast Stalker, 2008; The Stool Pigeon, 2010) bercita-cita sangat tinggi. Daripada sedutan treler lagi, kita dapat merasai bahang Hollywood yang cuba ditampilkan.

Cita-cita Lam bukan saja untuk menghasilkan filem aksi penuh efek, letupan dan kejar-mengejar, tetapi mempunyai weight pada jalan cerita. Lam dengan bantuan penulis skrip Jack Ng ingin menghasilkan sebuah naskhah yang berisi dan kelihatan pintar apabila mengutarakan isu sains dan pandemik global.

Plotnya mempunyai sedikit bayangan filem Mission Impossible II (2000) arahan John Woo (ejen Ethan Hunt dihantar ke Sydney untuk memusnahkan virus Chimera). Perkara ini mungkin sekadar kebetulan, walaupun hasil kerja Lam sering dibandingkan dengan Woo kerana mempunyai 'getaran' serupa.

Menolak faktor dialek yang bercampur-campur (Jon bercakap dalam Mandarin, Yeung bertutur dalam Kantonis dan Sean bercakap dalam bahasa Inggeris), saya merasakan terlalu banyak yang hendak diceritakan dalam The Viral Factor.

Hubung kait di antara setiap watak mencetuskan terlalu banyak kebetulan menyebabkan naratif dan pembinaan plot tidak seimbang. Kisah virus yang dijadikan tajuk filem - yang sepatutnya diutamakan - tenggelam timbul di sebalik aksi, letupan, tembak-menembak dan segala macam perkelahian.

Dalam masa sama, Lam dan Ng 'menyumbatkan' kisah persaudaraan, sehingga mencetuskan momen-momen melodrama; antara lain gangguan migrain yang dialami Jon, rintihan ibu mereka yang menyesal atas perbuatan silamnya serta dua kali tangisan Yeung yang meratap hiba sehingga hingusnya meleleh.

Dua pertiga filem ini dirakamkan di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya. Bagi penonton tempatan, ini adalah satu 'hidangan' yang menyeronokkan, melihat setiap aksi berlaku di tempat-tempat yang biasa kita lalui.

Dari ruang angkasa yang menangkap imej KLCC serta bangunan-bangunan pencakar langit, kesibukan KL Sentral dan kawasan tren di MidValley, sehinggalah kejar-mengejar di Bukit Bintang dan kereta 'terbang' di Pavilion, gerak kamera pengarah fotografi Kenny Tse, penuh dengan perspektif panorama.

Ia mencetuskan perasaan debar, tidak selamat dan goyah, tetapi visualnya kemas dan tidak bergoyang-goyang seperti sesetengah filem aksi, misalnya trilogi Bourne (2002-2007). Biarpun ada babak yang agak meleret, tetapi peminat genre sebegini tidak akan merungut, malah mengetap bibir keseronokan.

Tidak dinafikan Jay Chou mempunyai persona di layar lebar, tetapi saya masih merasakan dia jauh lebih berbakat sebagai penyanyi berbanding pelakon. Dilihat sedaya-upaya menghidupkan watak Jon, kemunculan Nicholas Tse sebagai Yeung pada pertengahan filem mencuri tumpuan penonton sepenuhnya.

Tse mempunyai kebolehan untuk kita percaya dia sememangnya samseng menerusi gaya rambut, cara pemakaian, bentuk fizikal dan renungan mata yang menakutkan. Dalam masa sama, kita juga percaya dia seorang anak dan bapa yang baik menerusi tingkah laku dan dakapannya kepada keluarga.

The Viral Factor adalah sebuah filem yang 'besar dan lantang'. Dengan bajet yang jauh beza dengan Hollywood, Lam sebenarnya berjaya menghasilkan karya dalam skala serupa dan John Woo patut berasa malu. Filem ini menyeronokkan, walaupun masih kurang faktor-x dan tiada kredibiliti dari segi penceritaan.

Thursday, January 19, 2012

THE GREAT MAGICIAN (2012)


Baik tetapi kurang ‘ajaib’


The Great Magician diadaptasi daripada novel tulisan Zhang Haifan.


BAGI penonton antarabangsa, nama Derek Yee lebih sinonim dengan filem drama berunsur aksi dan jenayah seperti One Nite In Mongkok (2004), Protégé (2007) dan Shinjuku Incident (2009).

Namun kepada peminat yang mengikuti perkembangannya, pasti tahu Yee juga pernah menghasilkan filem komedi romantik seperti The Truth About Jane and Sam (1999) dan Drink-Drank-Drunk (2005).

Menerusi filem terbaru, The Great Magician, Yee mahu mengembalikan sifat-sifat humor yang ada dalam dirinya.

Diadaptasi daripada novel tulisan Zhang Haifan dengan judul serupa, pengarah itu memilih dua hero yang sinonim dengan filem berat, Tony Leung dan Lau Ching Wan untuk sama-sama meraikan genre komedi.

Berlatar belakangkan awal abad ke-20, Chang Hsien, seorang ahli silap mata pulang ke Beijing selepas tiga tahun merantau. Dengan helah yang dipelajarinya, dia dan beberapa penduduk kampung bekerjasama untuk menggulingkan pemerintahan Jeneral Bully Lei yang gila kuasa dan tidak adil.

Lebih daripada itu, Chang mahu mendapatkan semula teman wanitanya, Liu Yin yang dijadikan isteri ketujuh di istana. Kesempatan itu juga digunakan oleh orang kanan Jeneral yang berpaling tadah. Dia mengajak Chang untuk bersekongkol dengan tentera Jepun bagi merampas takhta Jeneral.

Kisah ahli silap mata dari era klasik yang cuba meraih cinta lama mungkin mengingatkan kita dengan filem Hollywood, The Illusionist (2006) tetapi persamaan tersebut sekadar di situ saja. The Great Magician dibikin dengan niat untuk membuat penonton ketawa di samping kesan khas yang efisyen.

Filem ini menelan belanja yang tinggi, dilaporkan paling mahal untuk Yee. Dengan rekaan set, props serta kostum yang elaborate lagi teliti, babak-babak silap mata merupakan elemen terpenting.

Yee serta penulis skrip, Tin Num Chun dan Ho Leung Lau membenarkan penonton untuk ‘mengintai’ di sebalik tabir pertunjukan; misalnya tentang persiapan dan bagaimana helah-helah silap mata berfungsi, seperti mana pengarah Christopher Nolan pernah melakukannya dalam The Prestige (2006).

Koreografi silap mata yang kemas, begitu juga dengan babak pertarungan, membuatkan penonton terhibur, tetapi Yee terlupa filem ini bukan mengenai persembahan magik semata-mata.

Separuh masa pertama diisi dengan kombinasi drama, komedi dan aksi yang hampir sempurna. Namun di pertengahan jalan, momentumnya terasa mendatar. Skripnya mula longgar apabila beberapa ‘twist’ cuba dicipta, lalu menimbulkan kecelaruan dan hubungan di antara watak jadi kurang meyakinkan.

The Great Magician mempunyai pengarah yang hebat, barisan pelakon yang mantap dan nilai produksi yang spektakular. Begitupun hasilnya kurang ‘ajaib’, tidak seperti tajuk filem ini. Ia masih naskhah yang baik, tetapi bukan terbaik.

Leung adalah pilihan yang tepat untuk watak Chang. Kesaktian itu dipercayai wujud dalam gerak tubuh dan gayanya sebagai seorang ahli silap mata. Walaupun watak ini tidak seberat In the Mood for Love (2000) atau Lust, Caution (2007), sesekali dia memerlukan peranan yang playful dan menyeronokkan.

Ching Wan pula hampir membayangi persembahan Leung kerana karakter Jeneral benar-benar serasi dengannya. Apa yang menarik tentang watak ini ialah penonton dapat melihat transisi daripada seorang maharaja yang tamak dan gatal, kepada seorang lelaki yang sebenarnya berhati tulus dan budiman.

Ching Wan menangani perubahan itu dengan lancar dan bersahaja. Penonton pasti terpikat dengan babak-babak Jeneral melayan tujuh isterinya, terutamanya isteri ketiga yang gigih berusaha dan bersifat flamboyant lakonan Yan Ni.

Karakter Liu Yin juga tidak berkembang, sekadar menjadi wanita rebutan. Justeru, tidak banyak yang boleh dilakukan Zhou Xun sebagai pelakon.

The Great Magician adalah sebuah komedi yang menghiburkan. Sisi humornya lebih menyerlah berbanding mesej politik yang ingin disampaikan. Peminat-peminat filem Cina juga pasti tersenyum dengan kemunculan cameo beberapa bintang seperti Daniel Wu dan pengarah terkenal, Tsui Hark.

Thursday, January 12, 2012

RELATIONSHIP STATUS (2012)


Status: perlukan perhatian
Oleh Syazwan Zakariah
(syazwan_zakariah@astro.com.my)
Terma ‘relationship status’ begitu sinonim kepada generasi berteknologi hari ini iaitu pengguna laman sosial Facebook. Pada ruangan informasi, mereka mempunyai pilihan untuk mendedahkan status; sama ada bujang, berkahwin, bercerai atau dibiarkan saja kosong kerana tidak penting untuk dikongsikan.
Filem Relationship Status berkaitan dengan Facebook, tetapi bukan mengenai Facebook. Selaku pengarah dan penulis lakon layar, Khairil M. Bahar mahu bercerita bagaimana rangkaian sosial mengubah landskap sosio-budaya serta pemikiran kita, dengan memberi fokus terhadap isu cinta dan perhubungan.
Ini merupakan cubaan kedua Khairil menghasilkan filem cereka selepas Ciplak (2006) yang hanya menelan belanja RM10,000. Diangkat sebagai pemenang Filem Alternatif Terbaik dalam Anugerah Skrin, kejayaan itu menandakan potensi pengarah muda ini.
Relationship Status juga dibikin dengan bajet rendah, cuma menggunakan kamera DSLR dan ditayangkan di pawagam terpilih saja. Meskipun aspek teknikal seperti gerak kamera dan audionya terasa ‘mentah’ dan memiliki semangat ‘indie’ yang kuat, Khairil seakan ingin mendekati jiwa arus perdana.
Dengan idea bersalut Hollywood (dan ini bukanlah komen yang buruk), Relationship Status membina karakter enam pasangan yang mewakili golongan kelas sederhana di Kuala Lumpur.
Khairil meminjam struktur penceritaan ensemble seperti dalam Love Actually (2003) atau Valentine’s Day (2010) atau jika filem tempatan seperti Cinta (2006) dan Sepi (2008); di mana watak-wataknya mungkin tidak mengenali secara langsung tetapi dihubungkan dengan permasalahan serupa.
Antaranya, tentang Anna yang enggan mengaku mencintai Dave, meskipun kelakuan mereka seperti sepasang kekasih. Apabila Anna mengosongkan ruangan ‘relationship status’ dalam Facebook, Dave terasa seperti dipermainkan dan dia mahu Anna ‘mengumumkan’ keintiman mereka kepada khalayak.
Manakala Trisya menuntut cerai apabila mengetahui kecurangan suaminya melalui gambar-gambar yang dimuat naik dan Selina yang cuba untuk tidak menatap Facebook kepunyaan mendiang suami selepas kematiannya.
Ini adalah contoh kisah yang rapat dengan kita, kesan pengaruh laman sosial pada abad ke-21. Sebagai pengguna Facebook, kita mudah mengaitkan apa yang terjadi dalam filem ini, baik pengalaman peribadi mahupun orang di sekeliling, seperti abang, kakak, adik atau rakan sekerja.
Saya sendiri pernah bercinta dan kecewa menerusi laman sosial, malah apabila insan terdekat meninggal dunia, saya juga merasai apa yang dialami Selina – berasa janggal apabila orang tidak henti-henti menulis di dinding Facebook si mati dengan pelbagai doa dan ucapan selamat tinggal.
Kekuatan Relationship Status adalah pada skripnya yang kemas, tajam dan bersahaja. Meskipun terdapat satu-satu babak yang agak panjang, Khairil bijak mengisinya dengan dialog yang tepat, yang mampu menimbulkan simpati, empati dan serta perasaan ingin ambil peduli pada setiap karakter.
Begitupun, saya kurang bersetuju dengan beberapa dialog awal apabila Dave menerangkan apa itu Facebook kepada rakan serumahnya, atau apabila teman sepejabat Dave bertanya dalam nada penuh teruja jika dia mempunyai Facebook.
Penerangan atau pertanyaan sebegitu dirasakan kurang relevan kerana pada hari ini, ketika filem ini ditayangkan, Facebook sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat dunia. Hampir semua orang tahu apa itu Facebook, bagaimana ia berfungsi dan sudah menjadi ‘makanan ruji’.
Lainlah jika Relationship Status dibikin beberapa tahun terkebelakang, semasa Facebook baru bangkit, serentak kemunculan The Social Network (2010) arahan David Fincher. Dialog sebegitu tidak salah, cuma kurang sesuai pada masanya.
Khairil beruntung apabila projek ini disokong barisan pelakon yang tahu untuk menyampaikan emosi secara subtle dan tidak berlebih-lebih. Misalnya, Daphne Iking sebagai Trisya yang menggunakan kata-kata sebagai senjata berbanding air mata. Penonton masih boleh merasai luka di hatinya menerusi pandangan mata.
Babak konfrantasi Trisya dan bekas suami diakhiri dengan lagu latar yang amat serasi, malah saya memuji pemilihan muzik untuk keseluruhan filem ini.
Sama halnya dengan Susan Lankester yang bijak memanipulasikan intonasi, terutama pada babak ketika dia berinteraksi dengan anaknya menerusi Skype. Getar suaranya mengundang sebak, dalam masa sama mampu ketawa apabila dia bercerita tentang perilaku mendiang suaminya yang obses Facebook.
Relationship Status adalah contoh pembikin filem kita berupaya memberikan naskhah yang universal dengan penceritaan yang baik tanpa modal berjuta-juta. Saya percaya aspek teknikal boleh diperbaiki jika Khairil mempunyai lebih dana, tetapi dia masih boleh berbangga dengan apa yang dihasilkan sekarang.
Filem kecil sebegini mampu mengejutkan, sekaligus memberi harapan kepada industri sinema tempatan bahawa kita tidak kurang penggiat muda yang berbakat. Apa yang mereka perlukan adalah perhatian dan sokongan daripada pelabur yang bersedia untuk membiayai visi dan karya mereka.
Namun untuk strategi pemasaran yang lebih berkesan, Khairil patut belajar untuk membikin treler yang lebih menarik. Sayang sekali bila filem sebaik ini tidak disokong dengan material promosi yang sewajarnya dan memberi keadilan terhadap produk sebenar.

Filem: Relationship Status
Pengarah: Khairil M. Bahar
Pelakon: Gavin Yap, Susan Lankester, Tony Eusoff, Daphne Iking, Baki Zainal

* Syazwan Zakariah ialah seorang penonton wayang tegar. Bertugas sebagai Pengarang Hiburan Astro Awani (saluran 501), dia boleh ditonton dalam Gala TV, setiap hari pukul 4.30 petang dan 10.30 malam.

Thursday, January 5, 2012

PAPA I LOVE YOU (2011)

Formula kitar semula tidak menjadi


POSTER filem papa i love you yang memaparkan semangat dan perjuangan kekeluargaan antara anak dan ayah.


Saya pernah memuji filem pertama arahan Hashim Rejab, Sekali Lagi (2011) sebagai antara penceritaan terbaik yang pernah diterbitkan Metrowealth Pictures. Selang enam bulan selepas ia ditayangkan, Hashim muncul dengan sebuah lagi naskhah kekeluargaan bertajuk Papa I Love You.

Sejujurnya, saya tidak menaruh harapan tinggi terhadap filem ini. Berdasarkan treler, saya merasakan Hashim sekadar mengulang formula yang sama seperti Sekali Lagi dan drama bersiri Adamaya (2010).

Maksudnya, ini sebuah lagi produk yang ingin mengeksploitasi keserasian pelakon cilik Mia Sara Nasuha dan Lisa Surihani. Kalau dulu hubungan mereka ialah anak dan ibu, bezanya kali ini sebagai orang asing yang dipertemukan melalui takdir.

Papa I Love You mengisahkan Baha, seorang bapa tunggal yang selama ini hanya mengharapkan arwah isterinya untuk menanggung keluarga. Selepas dihalau dari rumah sewa dan keretanya ditarik, Baha dan anaknya, Mia terpaksa bermalam di taman permainan berdekatan dengan sekolah asuhan Mia.

Keakraban Mia dengan Elly yang dipanggilnya Auntie, membuka ruang untuk mereka menumpang di rumah wanita penjual gula-gula itu. Baha mempelajari Elly sebenarnya datang dari keluarga berada, tetapi nekad untuk berdikari kerana membenci bapanya, Datuk Kudin.

Mengitar semula set pelakon yang sama dengan jalan cerita hampir serupa bukanlah perkara baru dalam sinema Melayu, lebih-lebih lagi jika ia terbukti menguntungkan.

Untuk berlaku lebih adil, mari bandingkan senario ini dengan industri perfileman yang sangat dekat dengan kita. Di Hollywood sekali pun, kita sering disogokkan dengan wajah yang serupa, misalnya Katherine Heigl yang membintangi begitu banyak filem komedi romantik dalam setahun.

Dalam erti kata lain, sesetengah penonton tidak begitu kisah dengan stereotyping. Mereka gemar menyaksikan filem yang menimbulkan rasa selesa dan gembira, walaupun subjek dan barisan pelakonnya berulang-ulang.

Begitupun, penerbit dan pengarah tidak boleh mengambil mudah. Mereka tetap bertanggungjawab untuk 'menghormati' wang tiket yang dibayar dengan mempersembahkan cerita yang baik, tidak membosankan dan disokong lakonan yang meyakinkan; di samping gambar yang cantik dan skor muzik yang tepat.

Sayangnya, Papa I Love You tidak menepati ciri-ciri yang dinyatakan.

Bermula babak pertama, penonton disajikan dengan lawak dangkal apabila Baha dipaksa untuk meninggalkan Mia dipelihara datuk dan neneknya. Saya faham jika Hashim terikat dengan label komedi, tetapi jenaka yang dipersembahkan kurang citarasa.

Mereka membincangkan soal masa depan Mia, tetapi kelakuan yang ditampilkan seperti berbaring di atas jalan, bukanlah perkara yang menggeletek hati. Saya percaya ada cara lain untuk membuatkan audiens ketawa menerusi dialog yang lebih bijak dan tidak kepada aksi yang bukan-bukan.

Subjek perhubungan di antara bapa dan anak mudah untuk menyentuh perasaan dan sangat universal. Hashim tidak memanipulasikan situasi ini sepenuhnya, membuatkan penonton berasa kosong dan dingin melihat telatah Mia dan Baha; begitu juga di antara Elly dan bapanya, Datuk Kudin.

Hashim tidak membimbing lakonan Zalif Sidek yang menjadi penggerak utama filem ini. Sebagai orang baru, Zalif nampak ketara mencuba sedaya upaya mewarnakan watak Baha, tetapi tidak kesampaian. Dia gagal mencetuskan rasa simpati penonton, sebaliknya lebih dilihat sebagai karakter yang lemah.

Keserasian Zalif dan Mia tidak cukup kuat, malah kebolehan Mia berlakon juga sudah tidak menjadi faktor-x untuk melembutkan hati penonton. Kita cukup maklum Mia memang berbakat, namun apa yang ditampilkan sekadar satu pengulangan dan tidak lagi comel atau mengagumkan seperti dalam Sekali Lagi.

Saya juga tidak percaya dengan cinta kilat yang terjalin di antara Baha dan Elly. Benar, cinta adalah perasaan yang tidak boleh dijangka, tetapi sekurang-kurangnya berikan penonton alasan kukuh mengapa Elly tiba-tiba menyukai Baha, sedangkan sebelum itu Elly mengakui sekadar kasihan melihat Mia.

Hashim dengan mudahnya menggambarkan mereka sudah jatuh cinta apabila tangan Baha tersentuh tangan Elly. Adegan itu kemudiannya menjadi slapstik, apabila Baha dan Elly terlalu khayal sehingga tidak mempedulikan keadaan sekeliling. Saya sangkakan mereka bermimpi, tetapi itu memang babak nyata.

Pelbagai konflik dan kesukaran yang ditampilkan sepanjang filem ini diselesaikan dengan mudah menerusi satu babak saja. Baha akhirnya mendapat tawaran kerja apabila menerima sepucuk surat, diikuti dengan kehadiran Datuk Kudin yang berbaju melayu lengkap kopiah sebagai tanda sudah insaf.

Lisa Surihani baru saja muncul dengan lakonan yang baik dalam Ombak Rindu, malah tidak mengecewakan dalam Sekali Lagi. Namun, Papa I Love You tidak mengukuhkan profilnya sebagai pelakon berbakat, malah mungkin membuatkan peminat tertanya - mengapa Lisa menerima tawaran ini?

Saya pernah memuji filem pertama arahan Hashim dan saya hanya mahu mengingati filem itu saja.