Thursday, November 1, 2012

SKYFALL (2012)

Seperti di awangan 
Oleh Syazwan Zakariah (syazwan_zakariah@astro.com.my)
Skyfall menandakan kali ketujuh Judi Dench memainkan watak ketua perisik, M dalam francais paling popular, James Bond. Kehadirannya kali ini dirasakan lebih menyerlah dan mendapat lebih masa tayangan, menjadikan dia ratu segala ratu untuk kesemua gadis Bond sejak siri filem ini diwujudkan 50 tahun lalu. M dalam Skyfall adalah ketua yang dingin, keras hati dan tetap pendirian. Dia seorang pemimpin yang mendesak, meminta lebih dan lebih; serta kurang peduli tentang keselamatan ejennya. Semua ini kerana dia tidak mahu memperjudikan risiko yang lebih besar iaitu keselamatan keseluruhan rakyat England. Ada sebab mengapa saya memulakan ulasan ini dengan menonjolkan M terlebih dulu. Tanpa mahu mengurangkan rasa teruja anda untuk pergi menonton, biarlah saya hanya mengatakan Skyfall adalah satu dedikasi untuk watak ikonik itu dan kemunculannya dalam filem ini akan dikenang buat selama-lamanya. M juga sebab utama mengapa penjahat di dalam filem ini wujud. Silva (lakonan Javier Bardem) ialah bekas ejen MI6 yang pernah berada di bawah kepimpinan M. Ingin membalas dendam selepas dilucutkan jawatan, sistem keselamatan badan perisikan sulit itu digodam dengan tujuan memusnahkan. Penulis skrip John Logan, Neil Purvis dan Robert Wade mencipta simetri yang sangat menarik apabila wira dan penjahat di dalam Skyfall, kedua-duanya ‘ciptaan’ M. Wanita itu harus mempertahankan maruahnya, bukan saja di depan kabinet menteri tetapi terlibat sama dalam pertarungan dan tembak-menembak. ‘Kematian’ Bond pada babak awal seperti satu rujukan kepada kegagalan filem terdahulu, Quantum of Solace (2008) dalam menawan hati pengkritik dan penonton. Skyfall adalah peluang untuk francais ini menebus kembali kredibiliti dan kemegahan namanya, sesuai dengan hari jadi yang ke-50 tahun ini. Di tangan pengarah Sam Mendes (American Beauty, 1999), Skyfall adalah gambaran Bond sebagai hero yang anda dambakan pada abad ke-21. Menyeronokkan tetapi tidak memperlekeh, kompleks tetapi masih pandai berjenaka, tangkas dan pantas namun tetap mempunyai sisi lemah dan pasrah. Selain Bond sendiri sebagai sumber kekuatan, Mendes mengambil serius akan legasi 007. Filem ini tidak terlepas dari gajet-gajet canggih ciptaan Q-Branch, misalnya radio kecil dan pistol yang hanya boleh mengesan cap jari Bond; serta kereta klasik Aston Martin yang ironinya menjadi kenderaan ‘samaran’. Gadis Bond seperti Eve (lakonan Naomie Harris) dan Severine (Berenice Marlohe) mempunyai fungsi masing-masing bukan sekadar tempelan atau wanita poster. Penonton juga diperkenalkan dengan watak Q (Ben Whishaw) yang memberikan hiburan menerusi penampilannya sebagai genius komputer. Dengan filem ini, Bond memasuki era jenayah siber yang menakutkan, cerminan kepada kes WikiLeaks dan isu keselamatan awam - bagaimana setiap maklumat sulit tidak lagi menjadi sulit. Kelebihan plot dan kepintaran penulis skripnya mengolah menjadikan francais pesaing, Jason Bourne kelihatan ketinggalan zaman. Silva di tangan Bardem mengingatkan saya kepada gabungan watak Joker (The Dark Knight, 2008) dan Hannibal Lecter (The Silence of the Lambs, 1991). Penonton berasa gerun, tetapi dalam masa yang sama terpikat dengan ciri-ciri karakternya yang bersahaja, tidak seperti kebanyakan samseng dalam filem kita. Kali ketiga sebagai Bond, Daniel Craig sudah meresapi semangat ejen perisik itu seperti span. Emosinya didalami lebih jauh, membentangkan psiko-analisis terhadap kehidupannya (selepas dia hampir mati ditembak), serta trauma zaman kanak-kanak (kembalinya Bond ke Skyfall, rumah tempat dia dibesarkan). Sementara Dench, sebagai aktres senior dan pemenang Oscar yang amat disegani, peranan M digalas dengan pendekatan ‘less is more’. Menampilkan riak yang tegas dan bengis, kerapuhannya dipamerkan pada babak-babak tertentu, antaranya apabila dia membaca sajak Tennyson kegemaran arwah suami. Seperti Christopher Nolan (Inception, 2010; The Dark Knight Rises, 2012), Mendes juga pengarah yang diketahui mempunyai palet visual yang sangat baik. Dia tahu untuk mengadunkan sifat-sifat lazim Bond dalam pengarahan yang segar, menjadikan naskhah asal tulisan Ian Fleming ini terus relevan. Bekerjasama dengan jurukamera calon Oscar sembilan kali, Roger Deakins (No Country For Old Men, 2007), Skyfall adalah fiesta mata bermula dari babak kejar-mengejar di Istanbul, kemudian ke set penuh ekstravaganza dan bergemerlapan di Shanghai dan Macau, sebelum kembali ke cuaca mendung di London. Mendes bukan saja memberikan babak-babak yang melonjakkan adrenalin, tetapi ‘twist’ yang memikat dan elemen humor secukup rasa. Efek CGI seperti tidak wujud kerana penonton berasakan setiap letupan atau kehancuran berlaku adalah dari objek sebenar (kereta, keretapi atau bangunan dan sebagainya). Walaupun sukar meramal kemungkinan Skyfall ‘lulus’ untuk Oscar (setakat ini hanya Goldfinger (1964) dan Thunderball (1965) menang anugerah teknikal), filem Bond ke-23 ini dilihat sebagai antara yang paling baik kerana dikerjakan oleh barisan pemenang Oscar dan mereka yang pernah tercalon. Skyfall memenuhi kriteria sebagai filem aksi hebat yang tidak mengenepikan jalan cerita, skor muzik cemerlang (terima kasih Thomas Newman, calon Oscar sebanyak sepuluh kali termasuk Wall-E (2008)) serta persembahan lakonan yang amat memberangsangkan. Bersedialah untuk menikmati pengalaman ‘di awangan’ selama dua jam 23 minit.

1 comment:

kulopasfarinas said...

Setuju. Kemungkinan amat besar akan tercalon untuk Oscar nanti. Tapi mungkin untuk kategori teknikal sahaja.

Review Skyfall yang lebih selamba: http://www.sinema.my/blog/behmehpeh/