Thursday, August 26, 2010

Phua Chu Kang The Movie (2010)

"Jangan main-main"


salah SATU ADEGAN DALAM FILEM PHUA CHU KANG THE MOVIE.


SIAPA yang tidak kenal dengan Phua Chu Kang (PCK), kontraktor popular di Singapura, Johor Bahru dan Batam.

Sinonim dengan imej rambut kerinting, bertahi lalat besar dan berkasut but kuning, dia menjadi jenama popular isi rumah di rantau ini.

Selepas 13 tahun diwujudkan, PCK mahu ruang yang lebih besar. Ia dibawa ke layar perak dengan persekitaran yang berbeza iaitu Kuala Lumpur (atau 'Kuara Rumpur' mengikut slanga Chu Kang).

Walaupun sudah berpindah lokasi, semangat PCK masih terasa 'Singapura'.

Saya tidak pasti jika ini waktu yang tepat untuk mengalihkannya ke medium filem - lambat atau cepat, hangat atau basi - saya percaya PCK ada pengikut sendiri.

Phua Chu Kang The Movie menghimpunkan semula Chu Kang dan isterinya, Rosie, ibunya, Ah Ma, pekerjanya, King Kong dan seterunya, Frankie Foo dalam satu bingkai.

Kerana Chu Kang sudah berpindah ke Kuala Lumpur, maka adalah wajar untuk mengenepikan watak adiknya, Chu Beng, isteri Chu Beng, Margaret dan anak mereka, Aloysius untuk versi filem. Sewaktu di Singapura dulu, dalam sitkom, mereka tinggal serumah.

Filem ini dibuka dengan babak imbas kembali Chu Kang dikejar penduduk sekampung. Adegan semasa kanak-kanak ini pastinya mengembalikan ingatan penonton kepada montaj sitkomnya, yang juga menunjukkan zaman kanak-kanak Chu Kang. Satu permulaan yang baik.

Seterusnya, penonton dibawa ke zaman hari ini iaitu Chu Kang dan Rosie menjemput Ah Ma di stesen bas Kuala Lumpur.

Sewaktu bersiar-siar di pusat membeli-belah, tiba-tiba Ah Ma hilang. Di sinilah bermulanya pengembaraan intipati Phua Chu Kang The Movie.

Ah Ma sebenarnya pergi melawat datuk Chu Kang yang ditinggalkan di Rumah Penjagaan Siao Soon.

Dua karakter baru yang diperkenalkan dalam filem ini ialah Lim Lau Pek, pemilik rumah kebajikan serta datuk Chu Kang.

Selama ini penonton tidak tahu Chu Kang mempunyai datuk yang masih hidup, yang membenci cucunya kerana menganggap Chu Kang sebagai pembawa sial sejak kecil. Kerana itu Ah Ma menziarah secara sulit kerana enggan diketahui Chu Kang dan Rosie.

Untuk mengintip perbuatan Ah Ma, Chu Kang berusaha mendapatkan tender membaik pulih rumah kebajikan tersebut.

Konflik demi konflik dicetuskan antaranya persaingan merebut tender di antara Chu Kang dan Frankie Foo serta Lim Lau Pek yang jatuh hati kepada Rosie.

Tanpa disedari, ia membawa kepada satu konflik yang lebih besar iaitu misteri kematian seorang demi seorang warga tua di situ. Ini bukan spoiler, tetapi penonton boleh menjangka siapa wira di penghujung filem ini kalau bukan Chu Kang sendiri.

Tidak dinafikan Phua Chu Kang The Movie membawa semula kenangan indah sitkom popular itu menerusi sifat-sifat karakternya yang masih sama, dengan beberapa frasa popular, seperti 'don't play play' dan 'use your brain-lah!'.

Bagaimanapun, sebagai pengarah, Boris Boo mungkin terlupa bahawa PCK kali ini tidak lagi berdurasi setengah jam, tetapi dipanjangkan kepada dua jam.

Lakon layar yang lemah tidak mampu menyokong perjalanan filem, menyebabkan saya beralih posisi duduk beberapa kali akibat kebosanan.

Skripnya tidak kemas dan terlalu mencuba untuk memaksa penonton ketawa.

Saya masih boleh memaafkan beberapa lawak slapstik, tetapi terdapat beberapa adegan yang tidak perlu diadakan.

Versatiliti Singh dicabar dengan beberapa adegan emosi pada penamat filem.

'Antics'nya sebagai kontraktor kiasu juga terus membuatkan penonton tersenyum, sama seperti Irene Ang yang berjaya mengubati kerinduan peminat terhadap karakter Rosie yang flamboyant dan over the top.

Bagi peminat setia sitkomnya, Phua Chu Kang The Movie mungkin tidak mengecewakan.

Tetapi, kepada yang lain, 'jangan main-main' dengan wang tiket yang bakal dibelanjakan.

Thursday, August 19, 2010

The Expendables (2010)

Kemuncak testosteron




BUAT para peminat filem aksi, The Expendables ibarat kemuncak mimpi indah. Dimulai dengan tiga nama - Sylvester Stallone, Jason Statham dan Jet Li, barisan pemain diperkuat dengan kehadiran Dolph Lundgren, Mickey Rourke, Steve Austin, Randy Couture, Gary Daniels dan Eric Roberts.

Jika nama-nama itu masih belum cukup memuaskan hati, peminat diberikan bonus kemunculan istimewa Bruce Willis dan Arnold Schwarzenegger.

Biarpun sudah diuar-uarkan di Internet bahawa dua bintang itu dipertemukan dalam satu babak saja, faktor reunion terbesar menjadi magnet terkuat untuk menarik khalayak ke panggung.

Saya percaya penonton sudah tidak peduli akan plot filem. Lebih ringkas lebih baik, kerana harga tiket yang dibayar adalah untuk melihat letupan, tembakan, kejar-mengejar, darah memancut dan segala macam aksi sepak terajang, seganas mungkin.

The Expendables merupakan nama sekumpulan tentera upahan yang mengerjakan misi berisiko tinggi, berani mati dan tidak teragak-agak untuk membunuh orang demi melangsaikan tugasan.

Fokus utama mereka ialah menumpaskan diktator yang memimpin Vilena, yang sebenarnya hanyalah boneka kepada seorang bekas ejen CIA yang tamakkan kuasa.

Dalam masa yang sama, hero filem ini, lakonan Stallone, jatuh hati kepada seorang wanita cantik, anak kepada pemimpin diktator tadi. Satu kebetulan yang sangat klise untuk mencipta konflik.

Untuk sebuah filem yang berdurasi 1 jam 45 minit, The Expendables mempunyai terlalu banyak karakter untuk diberi perhatian.

Justeru, tidak banyak pembangunan watak dapat dilakukan, kecuali untuk Stallone (kerana dia pengarah dan penulis skrip) dan Statham yang mewakili wira generasi baru kerana dia yang paling muda di antara semua.

Pada usia 64 tahun - dengan tubuh yang masih sasa dan sedikit suntikan botox di wajah - Stallone masih mampu mengangkat dirinya sebagai seorang penyelamat, dalam masa yang sama mempunyai sisi rapuh yang dapat dikesan menerusi dialog dan ekspresi matanya yang kuyu.

Dan Stallone beruntung kerana mempunyai ikatan keserasian yang kuat dengan pelakon-pelakon pembantu.

Dalam kemunculan yang terhad, beberapa watak masih meninggalkan impak. Rourke berjaya memberikan dimensi terhadap karakter Tool, bekas ahli The Expendables yang menyimpan tragedi duka di sebalik penampilan kasar; begitu juga dengan Lundgren menerusi karakter yang tidak boleh dibaca - sekejap putih, sekejap hitam.

The Expendables diisi dengan hormon testosteron sepenuh-penuhnya. Melalui babak pembukaannya saja, penonton sudah boleh mengagak ke mana mereka bakal dibawa.

Lengkap dengan pelbagai senjata - dari manual ke mekanikal - dan pelbagai kenderaan lasak - dari daratan ke udara dan lautan - ia mengembalikan sifat-sifat klasik filem aksi.

Eric Roberts yang memegang watak antagonis memiliki ciri-ciri penjahat era 1980an. Dengan muka bengis, gerak tubuh dan dialog yang stereotaip, bagaimanapun, ia bukanlah berita buruk, sebaliknya satu kejayaan buat Roberts.

Saya pasti adegan penutup mampu membuatkan peminat filem aksi tersenyum lebar.

Bertarung dalam durasi hampir setengah jam, ia mengingatkan kita kepada filem Commando (1985) atau siri-siri Rambo (yang pertama terbit pada tahun 1982 dan diakhiri pada tahun 2008 arahan Stallone).

Adegan-adegan lawannya tidak masuk akal, melampau-lampau tetapi masih mengesankan dan menyeronokkan.

Stallone nyata tahu apa yang dimahukan penonton. Ironinya, ideanya tidak ketinggalan zaman, walaupun masih sama seperti plot dua puluh tahun lalu.

Ketepikan skrip atau dialog yang ala kadar, mahupun imej janaan komputernya yang nampak palsu kerana kelemahan-kelemahan ini berjaya diselindungkan.

Buat para peminat filem aksi, The Expendables melengkapi kemuncak sinema musim panas tahun ini.

Thursday, August 12, 2010

Best of Times (2010)

Teori ikan emas


BEST of Times merupakan sebuah drama romantis yang menjadikan dua pasangan sebagai contoh kewujudan cinta sejati.


FILEM ini lambat masuk ke pawagam Malaysia selepas hampir setahun ditayangkan di negara kelahirannya. Mendapat kutipan pecah panggung di sana, Best of Times merupakan calon Thailand ke Anugerah Academy 2010 dan terpilih untuk tayangan di Festival Filem Antarabangsa Tokyo.

Selain sebab di atas, saya tertarik untuk menyaksikannya kerana dua faktor.

Pertama, ia diarahkan Yongyoot Thongkongtoon (The Iron Ladies, 2000; Metrosexual, 2006) dan kedua, kerana sinopsisnya yang membandingkan sifat manusia dengan ikan emas.

Jangan salah faham, ini bukan satu lagi kisah fantasi duyung.

Memori ikan emas dikatakan hanya bertahan selama tiga saat. Ketika ia berenang dari satu sisi balang ke sisi yang lain, ia sudah lupa apa yang berlaku sebentar tadi.

Berlainan dengan manusia, apa yang terjadi dalam tiga saat pun boleh diingat sampai bila-bila. Apatah lagi jika membabitkan cinta.

Best of Times merupakan sebuah drama romantis yang menjadikan dua pasangan sebagai contoh kewujudan cinta sejati.

Keng tidak dapat melupakan Fai, cinta pertamanya sejak di bangku sekolah lagi. Biarpun sudah bertahun-tahun, dia masih menyimpan perasaan yang sama dan tidak berani untuk meluahkan.

Tambahan pula, Fai berkahwin dengan rakan baiknya sendiri, Ohm, tetapi kemudian bercerai.

Lapan tahun berlalu, takdir menemukan mereka semula dalam situasi yang amat janggal. Fai datang menjamin Ohm dan Keng di balai polis, selepas mereka memandu dalam keadaan mabuk susulan acara reunion sekolah.

Peristiwa-peristiwa inilah yang membawa penonton mengenali siapa pula Jamrus dan Sompit, pasangan duda janda yang jatuh cinta di dalam kelas komputer warga emas.

Keng ditugaskan sebagai cikgu atas hukuman khidmat masyarakat yang diperintahkan mahkamah.

Penonjolan Jamrus dan Sompit sebagai subjek utama di samping Keng dan Fai, menjadikan Best of Times lari sedikit dari imej stereotaip filem Asia.

Lazimnya pelakon veteran tidak lebih daripada watak sokongan, sekadar menjadi ibu bapa kepada hero atau heroin.

Ini mengingatkan saya kepada karakter lakonan Fatimah Abu Bakar dan Datuk Rahim Razali dalam Cinta (2006) arahan Kabir Bhatia yang juga diberi tumpuan.

Pengarah cuba membangunkan dua kisah cinta dalam satu masa, namun segmen pasangan muda terasa agak meleret dan mendatar, walaupun mempunyai inti pati yang menarik.

Fai masih dibayangi perasaannya terhadap Ohm dan bagaimana Keng harus meneutralkan kejanggalan Fai yang selama ini hanya menerimanya sebagai seorang kawan, bukan kekasih.

Barangkali segmen pasangan berusia, Jamrus dan Sompit memberi impak yang lebih kuat kerana nilai ceritanya.

Jamrus dan Sompit bukan saja 'dipisahkan' oleh kedudukan geografi (Jamrus sanggup memandu enam jam dari Chumporn ke Bangkok, semata-mata untuk ke kelas komputer bertemu Sompit), malah mereka keluar secara sembunyi kerana bimbang cinta tidak direstui anak masing-masing.

Untuk pengarah yang sinonim dengan stail penceritaan yang flamboyant, Thongkongtoon lebih tenang kali ini.

Lakon layar Best of Times tidak mempunyai sebarang kejutan, dialog-dialognya tidak sentimental keterlaluan, malah dalam beberapa adegan, aspek dramatiknya ditonjolkan dalam gaya yang sangat subtle.

Misalnya, ketika Sompit berdepan dengan dilema sama ada mahu mengikut anaknya berhijrah ke Amerika atau menjaga Jamrus yang tiba-tiba disahkan mengidap Alzheimer.

Begitu juga dengan adegan di mana pokok besar kesayangan Jamrus dipindahkan dari kampung ke kediaman anaknya di bandar.

Dua insiden ini boleh saja digunakan Thongkongtoon untuk meruntun jiwa penonton menerusi ratapan atau air mata pelakon, tetapi dia mengambil langkah yang lebih dewasa.

Malah, persembahan empat pelakon utama juga terkawal tetapi masih memberangsangkan.

Bagi sebuah filem bergenre seperti ini, kerja sinematografinya cantik tetapi tidak lari dari klise.

Bersih dan jelas dengan rekaan produksi yang kemas, ia dibantu skor muzik ringkas seperti alunan piano untuk membangkitkan mood.

Best of Times mungkin tidak sempurna, mungkin juga bukan filem cinta yang terbaik. Tetapi, saya percaya kepada teori pada awal perenggan tadi.

Tidak seperti ikan emas, manusia tidak mudah melupakan sesuatu, apatah lagi jika membabitkan cinta.

Thursday, August 5, 2010

The Last Airbender (2010)

Jadikan ia pertama dan terakhir


Shyamalan terperangkap dengan kerumitan mitos The Last Airbender sehingga mengabaikan banyak aspek utama, terutamanya pembangunan cerita, karakter dan lakonan.


THE Last Airbender, filem ketujuh M. Night Shyamalan selepas The Sixth Sense (1999), merupakan adaptasi animasi popular terbitan Nickolodeon, Avatar: The Last Airbender.

Ditayangkan di kaca televisyen mulai 2005, siri kartun itu masyhur kerana elemen Asia yang kuat - pengaruh anime, kesenian China, Hinduism, Taoism dan Buddhism dari mata masyarakat Barat.

Ia mempunyai ramuan dan sifat sebuah epik seperti The Lord of The Rings yang penuh ciri mistikal, budaya dan ketamadunan.

Bukan pengikut setia animasinya, saya hanya membuat sedikit kaji selidik menerusi Internet, bertanya kepada rakan-rakan yang fanatik serta membaca sinopsis sebelum menyaksikan filem ini.

Bagi saya, sebuah filem yang baik mampu berdiri sendiri tanpa memerlukan penonton merujuk kepada material asal, sama ada novel, animasi atau prekuel.

Dalam The Last Airbender, populasi dunia terbahagi kepada empat puak iaitu tanah, udara, air dan api.

Sesetengah daripada mereka dikurniakan kebolehan untuk menguasai elemen masing-masing, tetapi untuk mengelakkan pertembungan kuasa, seorang pengawal diperlukan. Pengawal itu dipanggil Avatar.

Hanya Avatar yang mampu mengimbangi keempat-empat elemen tersebut agar dunia sentiasa aman. Bagaimanapun, penyelamat dunia ini dikatakan sudah tidak wujud lagi.

Filem ini dibuka dengan adegan dua beradik dari puak air, Sokka dan Katara, yang menjumpai sami kanak-kanak dari puak udara yang terperangkap dalam ketulan ais gergasi.

Namanya Aang dan beberapa minit kemudian, penonton diberitahu dialah Avatar yang hilang sejak 100 tahun lalu.

Atas kuasa yang diserahkan kepadanya, walaupun tanpa kerelaan, Aang harus bangkit menentang kejahatan daripada puak api.

Dia bukan saja diburu raja puak itu sendiri, Lord Ozai, tetapi menjadi sasaran anaknya, Prince Zuko yang mahu membuktikan kepada bapanya bahawa dia layak menduduki takhta.

Sememangnya satu kerja yang sukar untuk memendekkan animasi berdurasi lebih lapan jam kepada dua jam filem.

The Last Airbender dilihat sebagai projek Shyamalan yang paling bercita-cita tinggi dan 'menakutkan', apatah lagi julung-julung kalinya dia harus bermain dengan imej janaan komputer (CGI) semaksimum mungkin.

Malangnya, Shyamalan bukan Peter Jackson. Dia terperangkap dengan kerumitan mitos The Last Airbender sehingga mengabaikan banyak aspek utama, terutamanya pembangunan cerita, karakter dan lakonan.

Dia 'mencampakkan' segalanya di layar perak, tanpa penonton merasai apa-apa kesan.

Pemilihan pelakon sudah diperdebatkan sejak awal lagi. Peminat setia mempersoalkan mengapa wajah-wajah asal dari animasi tidak dikekalkan.

Sebagai contoh, Aang sepatutnya berwajah lebih Asia dan Prince Zuko yang sepatutnya mempunyai imbasan rupa Cina, bukan India seperti dalam filem. Malah, sebutan nama Aang juga ditukar kepada Uhng.

Saya tidak melihatnya sebagai isu diskriminasi perkauman, tetapi kepada peminat tegar, setiap perincian adalah penting.

Mereka mahukan sesuatu yang sudah sebati sejak awal. Secara peribadi, saya tidak begitu peduli, asalkan lakonan mereka boleh dipercayai. Sayangnya, itu juga tidak berlaku.

Mereka hanya melontarkan dialog dengan kaku, seolah mereka sendiri tidak faham dengan apa yang dituturkan.

Aksi-aksi seni mempertahankan diri, termasuk semasa mereka menguasai elemen masing-masing kelihatan robotik dan dikoreograf.

Noah Ringer yang memegang peranan Aang, tidak memiliki aura seorang hero kerana ketrampilannya yang lembik dan tidak meyakinkan.

Dev Patel yang cemerlang dalam Slumdog Millionaire (2008) pula hanya mempamerkan lakonan yang cukup makan sebagai Prince Zuko.

Emosi yang hilang daripada barisan pelakon membuatkan filem ini kurang nyawa.

Tidak dinafikan, sesetengah imej CGI yang terhasil menakjubkan, dengan set dan props yang spektakular serta skor muzik yang bersesuaian. Namun, itu semua bukan kerja Shyamalan.

Di manakah dia sebagai pengarah dan penulis lakon layar yang bertanggungjawab menjaga naratif?

Kejayaan kecil dalam aspek sinematik tadi tidak cukup untuk menyelamatkan The Last Airbender sebagai sebuah filem yang total.

Saya pasti sewaktu animasinya ditayangkan, ia diminati kanak-kanak dan dewasa kerana tema yang universal.

Isu persahabatan, dinamik kekuasaan sesebuah institusi, kasih sayang dan kehilangan dibawakan dalam vakum yang ringan dan menyeronokkan.

Sebaliknya, di tangan pengarah berusia 40 tahun ini, ia menjadi sebuah karya gelap yang kucar-kacir, di mana setiap adegan seakan tidak serasi dengan adegan yang lain.

Mungkin lebih baik siri trilogi ini dihentikan saja sekarang agar menjadi filem yang pertama dan terakhir.

The Last Airbender, filem ketujuh M. Night Shyamalan selepas The Sixth Sense (1999), terus menjunamkan kerjayanya.