Thursday, September 30, 2010

Eat Pray Love (2010)

Berdoa untuk dimaafkan


LAKONAN Julia Roberts dan Javier Bardem banyak menyelamatkan filem Eat Pray Love.


SAYA tidak berkesempatan membaca buku Eat Pray Love sebelum menyaksikan filemnya. Begitu pun, saya tahu ia merupakan adaptasi daripada sebuah novel terlaris yang dianggap sebagai pencetus inspirasi.

Ditulis berdasarkan pengalaman sendiri, Elizabeth Gilbert disanjung sebagai srikandi alaf baru. Ironinya, saya tidak merasakan begitu sesudah menonton.

Karakter Elizabeth digambarkan sebagai seorang yang ego, keliru dan menjengkelkan. Malah, tidak keterlaluan jika saya melihat dia mempunyai masalah kecelaruan personaliti.

Justeru, apa yang hebatnya tentang wanita ini sehingga diperkatakan di serata dunia? Apakah pengajaran yang dibawakan sehingga bukunya masyhur dan dijadikan filem?

Untuk mendapatkan keadilan, saya mengambil inisiatif membaca novelnya setebal 441 halaman dalam masa dua hari, sebelum artikel ini ditulis. Saya pasti ada yang tertinggal dari buku untuk dimasukkan ke dalam filem.

Sudah menjadi lumrah apabila naskhah asal dikatakan jauh lebih baik daripada adaptasi. Namun, ia turut bergantung kepada kebijaksanaan penulis lakon layar untuk memindahkannya.

Contoh terbaik ialah Slumdog Millionaire (2008) yang diilhamkan daripada novel Q & A tulisan Vikas Swarup. Biarpun terjemahan tidak dilakukan mengikut setiap muka surat, namun inti pati cerita dan watak-wataknya diolah dengan berkesan.

Sangkaan saya terhadap kelemahan adaptasi Eat Pray Love sememangnya tepat. Sayang sekali apabila pembangunan watak utama gagal disempurnakan oleh penulis skrip, Ryan Murphy dan Jennifer Salt.

Ini mengingatkan saya kepada Running With Scissors (2006), satu lagi adaptasi dan arahan Murphy yang mengecewakan. Filem itu menerima kritikan kerana tidak sebagus buku dan nampaknya sejarah berulang kembali.

Dalam filem Eat Pray Love, saya tidak mengetahui sebab yang jelas mengapa Elizabeth tiba-tiba mahu meninggalkan suaminya, kemudian berpeleseran dengan lelaki muda sebelum pergi bercuti ke tiga buah negara.

Karakter Elizabeth kelihatan seperti seorang wanita yang bebas, angkuh dan mementingkan diri sendiri. Setiap tindakan atau keputusan yang diambil seperti sangat mudah dan terburu-buru.

Walhal menerusi buku, saya diterangkan bagaimana Elizabeth sebenarnya tidak lagi berasa bahagia dan enggan mengandung seperti yang dimahukan suami. Dia juga sudah penat menjadi ketua kewangan dalam keluarga.

Di dalam beberapa bab juga, Elizabeth mengakui mengalami tekanan dan bergantung kepada ubat. Dia terpaksa bergelut dengan kedegilan suami yang enggan menceraikannya.

Kehilangan elemen-elemen kritikal ini memberikan saya persepsi yang berbeza terhadap Elizabeth di dalam buku dengan Elizabeth di layar perak.

Saya mampu bersimpati kepada Elizabeth apabila membaca bukunya, tetapi mencebik semasa menonton filem.

Pengembaraannya ke Itali lebih daripada sekadar menikmati makanan; ke India bukan setakat membaca mantera; dan ke Bali bukan semata-mata mencari cinta baru.

Perjalanan spiritual ini tidak dirasai melalui filem, kerana apa yang dipaparkan seolah-olah Elizabeth sedang berseronok saja. Sedangkan hakikatnya, Elizabeth berikhtiar keras untuk survive dan mencari masa depan.

Kegagalan versi filem mendalami setiap fasa itu, menjadikan Eat Pray Love sebagai satu karya yang hanya cantik pada permukaan.

Penonton diberikan sinematografi yang kemas, dengan bingkai-bingkai pemandangan yang indah ibarat sekeping poskad. Filem ini juga bernasib baik kerana disokong barisan pelakon ternama.

Walaupun lakonan Julia Roberts dikatakan stereotaip, namun tidak dapat dinafikan dia masih tersenarai antara aktres terhebat Hollywood. Perjalanan filem yang meleret banyak diselamatkan oleh aura Roberts, begitu juga dengan penampilan Javier Bardem dan Billy Crudup.

Adegan yang paling saya gemari ialah apabila Crudup menyeka air mata di dalam lif selepas bertarung di pejabat peguam untuk menyelamatkan perkahwinannya.

Sebagai kesimpulan, percubaan Murphy untuk membawa Eat Pray Love ke layar perak tidak kesampaian. Sebagai pencipta siri TV Glee (2009), mungkin dia harus fokus kepada menari dan menyanyi saja. Dia juga mesti berdoa agar dimaafkan peminat buku kerana telah merosakkan naskhah asal.

Thursday, September 23, 2010

Wall Street Money Never Sleeps (2010)

Penantian yang terbayar


SHIA LaBeouf (kiri) dan Carey Mulligan memberikan lakonan cemerlang dalam filem sekuel ini.


INGATAN saya kepada filem pertama Wall Street (1987) sangat kabur. Saya hanya sempat menontonnya sekali pada awal tahun 90-an, itu pun kerana ditayangkan di kaca televisyen.

Saya harus berterima kasih kepada sarikata yang banyak membantu memahami terma-terma kewangan yang terlalu asing buat saya.

Oliver Stone membawa penonton mengetahui apa yang ada di sebalik Ivory Towers dan politik pasaran saham global.

Ketika ramai menganggap berita bisnes hanyalah sekadar berita, Wall Street memberikan pandangan baru terhadap dunia perniagaan - penuh drama dan misteri, ibarat sebuah naskhah thriller.

Selang 23 tahun, Stone muncul dengan sekuel Wall Street: Money Never Sleeps.

Ini merupakan sekuel pertamanya sejak bergelar pengarah dan dia mempunyai alasan yang kuat mengapa baru sekarang menghasilkan filem sambungan.

Ketika Wall Street yang pertama diterbitkan, dunia sedang bergelut dengan krisis ekonomi akibat kejatuhan pasaran saham terbesar atau Black Monday.

Perkara itu tidak banyak bezanya dengan senario hari ini, di mana pakar ekonomi menyifatkannya sebagai yang krisis kewangan terburuk selepas era Great Depression.

Biarpun tiada apa yang baru mengenai subjek yang ingin ditampilkan dalam sekuel, namun isinya masih sangat relevan.

Dengan bantuan penulis hebat seperti Allan Loeb dan Stephen Schiff, Money Never Sleeps menjadi sebuah cerita yang melengkapi kepakaran, pengetahuan dan teknologi dunia bisnes masa kini.

Bagi mereka yang tidak begitu memahami bagaimana dunia saham berfungsi (termasuk saya), filem ini mampu membuatkan dahi penonton berkerut.

Bagaimanapun, di sebalik komplikasi itu, Stone sebenarnya ingin memaparkan fitrah manusiawi - tentang ketamakan, ketakutan, perhubungan dan kasih sayang.

Money Never Sleeps dibuka dengan pembebasan Gordon Gekko daripada penjara. Gekko masih kental di tangan Michael Douglas, watak pakar kewangan yang bijak dan licik, yang melayakkan aktor itu memenangi trofi Oscar pada 1987.

Sehingga kini ia menjadi salah satu karakter paling ikonik dalam dunia sinema moden.

Kerana kesalahan jenayah yang dilakukan, nasihat Gekko tentang dunia saham tidak disambut baik banyak pihak.

Idea yang dijaja menerusi buku tulisannya dipandang sinis, tetapi tidak untuk pedagang muda, Jake Moore yang berpacaran dengan anak Gekko bernama Winnie.

Moore mempunyai misi untuk memulihkan semula hubungan Winnie dengan bapanya yang keruh.

Winnie menganggap Gekko sebagai bapa pembelit yang tidak bertanggungjawab sehingga abangnya mati akibat dadah.

Keraguan Winnie masih menebal sehingga mencetuskan konflik berpanjangan.

Pada masa yang sama, Moore mendapatkan nasihat Gekko untuk menentang Bretton James, penyangak korporat yang menyebabkan mentornya, Louis Zabel mati membunuh diri akibat tekanan.

Moore digambarkan sebagai seorang wira yang cuba menyelamatkan kehidupan profesional dan peribadi orang-orang di sekelilingnya.

Douglas bertuah kerana didampingi barisan pelakon yang dapat menyaingi permainannya sebagai Gekko. Shia LaBeouf menangani watak dramatik Moore dengan begitu baik.

Dia membuktikan yang dia tidak hanya pandai melompat dan berlari seperti di dalam Transformers (2007) atau Indiana Jones and the Kingdom of the Crystal Skull (2008).

Carey Mulligan menyinar sebagai aktres pelapis yang berkeupayaan menyampaikan emosinya hanya melalui bahasa wajah dan tubuh.

Manakala Josh Brolin yang pernah menyerlah dalam filem W (2008), juga arahan Stone, mengisi ruang watak antagonis James dengan berhemah, tetapi penuh muslihat di sebaliknya.

Namun demikian, pujian tertinggi seharusnya diberikan kepada Stone. Di sebalik frasa kewangan yang rumit serta imej graf yang berlatar belakangkan bangunan pencakar langit New York, dia berjaya mengimbangi aspek teknikal dan penceritaan.

Kepintaran Stone dan penulis skrip menjadikan Money Never Sleeps sebagai sebuah karya yang mampu dihadam sesiapa saja, tanpa perlu mengambil kursus pendek perniagaan sebelum menontonnya.

Tempoh penantian selama 23 tahun untuk menyaksikan sekuel ini menjadi kenyataan terbayar.

Thursday, September 16, 2010

4 Madu (2010)

Madu yang kurang manis


FILEM 4 Madu memberikan persepsi bahawa ikatan perkahwinan boleh dipersenda dan menjadi bahan mainan.


PROFESOR Madya A. Razak Mohaideen dan Saiful Apek gabungan dua nama yang sudah selalu, tetapi cukup serasi dan menguntungkan.

Kerjasama mereka, daripada filem Jutawan Fakir (2003) sehinggalah Sifu dan Tongga (2009) mencatatkan trek rekod yang baik dari segi kutipan box-office.

Setuju atau tidak, kenyataannya Razak ialah seorang pembikin filem yang tahu membaca selera penonton.

Justeru, untuk filem terbarunya, 4 Madu, selain Saiful Apek, dia membariskan pelakon yang punya nama dan wajah untuk menarik orang ke pawagam, antara lain Fasha Sandha dan Rozita Che Wan.

Formula itu dikatakan masih relevan, walaupun risiko untuk gagal tetap ada.

Filem 4 Madu bermula apabila Azlan menerima sepucuk surat daripada pejabat peguam.

Di sana, dia dipertemukan dengan saudara kembarnya, Azrul yang terpisah sejak kecil.

Mereka sebenarnya diwasiatkan aset bernilai RM50 juta daripada bapa mereka yang selama ini tidak diketahui identitinya.

Sebelum harta itu diserahkan, Azlan dan Azrul harus melalui beberapa fasa ujian yang memaksa mereka untuk berkahwin empat.

Setiap satu calon memiliki kriteria tertentu, seperti wanita buta dan bisu serta anak yatim piatu. Tugasan-tugasan itu harus dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan.

Plot filem ini mengingatkan saya dengan kepada filem Mr. Os (1987) yang berkisar sama mengenai ujian dan wasiat.

Tetapi kalau hendak diambil kira, idea asal filem itu pun bukanlah begitu asli kerana khabarnya dicedok daripada filem Hong Kong.

Justeru, persamaan atau ilham yang diulang pakai bukanlah sebab untuk menolak percubaan 4 Madu.

Apatah lagi, isu berkahwin banyak juga pernah diutarakan; contohnya dalam filem arahan Tan Sri P. Ramlee, Madu Tiga (1964) dan filem seberang, Berbagi Suami (2006).

Sayangnya, olahan 4 Madu dirasakan tidak sepintar dan sekemas dua filem tersebut.

Filem ini memberikan persepsi bahawa ikatan perkahwinan boleh dipersendakan dan menjadi bahan mainan.

Realiti mengenai ketamakan dan kehodohan prinsip bernikah hanya kerana wang, gagal disampaikan secara jelas. Apa yang lebih menonjol ialah poligami sebagai bahan jenaka kosong.

Seperti mana filem-filem komedi Razak yang lain, 4 Madu masih membawakan pendekatan yang serupa.

Skripnya ringan dengan humor yang adakalanya menjadi separuh masak. Babak demi babak ditonton tanpa meninggalkan kesan kerana tiada perubahan yang cuba dilakukan.

Lakonan Saiful Apek masih tidak banyak beza, meskipun melakonkan dua karakter dengan personaliti yang berlainan.

Watak Azlan ialah pekerja chalet yang kurang pendidikan, sementara Azrul ialah seorang ahli perniagaan yang berjaya.

Sepatutnya penonton dapat mengasingkan dua watak ini melalui mentaliti, dialog dan perlakuan mereka. Namun, perbezaan sifat Azlan dan Azrul tidak ketara.

Dalam pada itu, beberapa pelakon pembantu seperti Rosnah Mat Aris yang menjadi wanita sengau, Sazzy Falak sebagai wanita Inggeris celup dan Bienda sebagai wanita pura-pura buta, mampu menimbulkan kelucuan spontan.

Tanpa mengurangkan rasa hormat kepada kekurangan sifat semulajadi manusia, tiga peranan ini menyerlah.

Bagaimanapun, bersedialah untuk menyaksikan lakonan kayu dan menjengkelkan daripada sesetengah watak. Tidak semua 'madu' yang ditampilkan dalam filem ini manis.

Saya mahu mengulangi perenggan awal tadi. Prof Madya A. Razak Mohaideen dan Saiful Apek - gabungan dua nama yang sudah selalu, tetapi cukup serasi dan menguntungkan. Kata kunci di sini ialah menguntungkan.

Dalam musim perayaan seperti Aidilfitri, 4 Madu mempunyai potensi untuk mengulangi kejayaan box-office dua insan seni itu, atau sekurang-kurangnya balik modal.

Saya pasti memang itu pun yang menjadi sasaran utama pengarah dan penerbitnya.

Thursday, September 9, 2010

Senario Asam Garam (2010)

Mana asam garam?


FILEM Senario Asam Garam dilihat tiada pembaharuan dan gagal memberikan impak.


SENARIO sudah membina jenama komedinya sendiri sejak lebih sedekad lalu. Daripada siri televisyen ke layar perak, pengaruh mereka sangat kuat sehingga mencatatkan jumlah tontonan serta kutipan box-office yang tinggi.

Daripada Aziz M. Osman ke Mamat Khalid dan Ahmad Idham, siri filem Senario memenuhi citarasa penonton massa. Walaupun jalan cerita dan karakternya berbeza-beza, namun identiti Senario masih tetap serupa, dirasai dan diterima pakai sampai ke filem yang kelapan.

Justeru, apabila Senario Asam Garam diserahkan kepada tokoh akademik seperti Prof. Dr. Hatta Azad Khan selaku pengarah dan penulis skrip, saya akui teruja untuk mencari kelainan, jika tidak pembaharuan.

Apatah lagi, filem ini ditunjangi tenaga kerja daripada golongan pensyarah serta penuntut Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik, Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM). Dengan kepakaran itu, jangkaan saya terhadap filem ini sedikit sebanyak berbeza daripada filem-filem Senario sebelumnya.

Barangkali kerana dia seorang ahli intelektual, Hatta hanya diingati menerusi filem Wayang (2008) yang sifatnya lebih berat dan serius.

Sedangkan sebelum itu dia pernah mengadaptasi komik popular Datuk Lat, Mat Som (1990) ke layar lebar. Dia jugalah yang mengilhamkan sitkom paling panjang jangka hayatnya, Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang bermula seawal 1984.

Dalam erti kata lain, komedi bukanlah sesuatu yang asing baginya. Namun, mampukah formula jenaka 'kelas' Hatta disatukan dengan lawak Senario yang selalunya dilabel sebagai slapstik dan stereotaip?

Senario Asam Garam berkisarkan persaingan di antara Pak Adam dan Asam, baik dari segi bisnes mahupun peribadi. Kedua-duanya terlibat dalam jenis perniagaan yang sama iaitu pembinaan dan kedua-duanya menaruh hati kepada wanita yang sama iaitu Cik Hawa, janda beranak satu yang berniaga makanan.

Akibat hasad dengki, Asam dan pembantunya, Garam selalu saja bertindak radikal. Mereka sanggup membakar gerai Cik Hawa semata-mata ingin membantu membina yang baru.

Mereka juga sanggup menculik Cik Hawa apabila mengetahui peminangan Pak Adam diterima, serta kemenangan Pak Adam memperoleh tender makmal sekolah.

Hatta menampilkan metafora yang baik apabila menamakan dua karakternya sebagai Asam dan Garam. Mengaitkannya dengan lumrah kehidupan, menariknya watak yang diangkat itu adalah antagonis - peranan bukan hero yang sering dikategorikan sebagai watak kedua.

Sayangnya, Senario Asam Garam tidak cemerlang seperti yang diharapkan. Beberapa babak awal seperti tiada kesinambungan dan suntingan yang tidak kemas menyumbang kepada perjalanan filem yang mendatar. Penceritaannya longgar, dialog terasa hambar dan 'tumbukannya' tidak terkena pada sasaran.

Saya pasti Hatta berkeinginan membawa komedi Senario ke satu tahap yang berbeza. Inisiatif itu dapat dilihat menerusi pembangunan watak, misalnya Mazlan Pet Pet sebagai Garam. Karakternya diberikan lebih warna dan tanggungjawab, bukan sekadar 'bermain-main' di depan kamera seperti selalu.

Bagaimanapun, percaturan itu tidak menjadi kerana pendekatan lakonan Mazlan tidak banyak berubah. Sifat komikalnya yang menggelabah, terjerit-jerit dan animated masih boleh disaksikan. Lakonan Azlee juga standard, cuma korum Senario kali ini kurang lengkap tanpa kehadiran Wahid.

Bukan menidakkan keupayaan Hatta sebagai peneraju utama, tetapi saya merasakan filem ini tidak lebih sekadar satu eksperimentasi. 'Dapur' Hatta tidak cukup asam garamnya.

Tagline Senario Asam Garam ialah 'cerita baru, ragam baru, lawak tak ingat'. Izinkan saya menyimpulkannya semula mengikut perspektif sendiri - 'cerita biasa, ragam ulangan, lawak yang mudah dilupakan'.

Thursday, September 2, 2010

Going The Distance (2010)

Ikhlas tapi jauh


DREW Barrymore dan Justin Long tidak perlu berusaha keras untuk mencipta keserasian dalam filem ini.


MELIHAT daripada trailer, Going The Distance seakan berada di dalam kelas yang serupa seperti filem-filem komedi romantik lain, misalnya Valentine’s Day, When In Rome atau The Back-Up Plan yang diterbitkan tahun ini.

Namun demikian, trailer lazimnya hanya memberi gambaran sepintas lalu dan penilaian tidak wajar dilakukan.

Sedutan itu memberi persepsi yang stereotaip kepada Going The Distance, walhal sebenarnya ia bukanlah sebuah naskhah chick-flick yang total, yang hanya sesuai untuk ditonton wanita.

Beberapa jam selepas ditinggalkan kekasih, Garrett berkenalan dengan Erin secara tidak sengaja di sebuah bar. Keserasian mengikat mereka, daripada sekadar kenalan kepada calon teman wanita.

Masalah mula timbul apabila Erin harus pulang ke tempat asalnya di San Francisco. Dia berada di New York hanya untuk sementara waktu kerana menjalani latihan musim panas di sebuah syarikat akhbar.

Plot filem ini mudah difahami. Tentang dua insan yang berdepan dengan pelbagai isu percintaan jarak jauh.

Garrett dan Erin harus melalui zon masa yang berlainan, rasa rindu dan cemburu yang menyesakkan, tambang kapal terbang yang mahal serta tekanan untuk bertukar kerja dan tempat tinggal.

Going The Distance bukan naskhah chick-flick yang total kerana perspektif Garrett turut diambil kira. Saya percaya kaum lelaki yang menonton filem ini mampu mengaitkan setiap peristiwa dengan pengalaman dan perasaan mereka.

Filem ini barangkali tidak sebaik 500 Days of Summer (2009), sebuah komedi romantik yang berbaur indie dan segar. Bagaimanapun, Nanette Burstein selaku pengarah berjaya mengolahnya dengan realistik, tidak terkongkong dengan idea percintaan dongeng Hollywood.

Menontonnya sama seperti menyaksikan sebuah siri realiti, iaitu mengenai orang-orang sebenar dengan masalah-masalah sebenar.

Tidak menghairankan kerana Burstein asalnya ialah pembikin dokumentari bertaraf calon Oscar. Ini merupakan cubaan pertamanya mengarahkan filem cereka.

Kerana Going The Distance membincangkan perhubungan remaja, Geoff La Tulippe cuba menghasilkan sebuah skrip yang jujur, lantang dan tidak konservatif. Sayangnya, sesetengah penonton mungkin akan tersinggung atau kurang selesa dengan jenakanya yang membabitkan perihal seks.

Beberapa perlakuan dan dialog menimbulkan provokasi, lebih-lebih lagi untuk penonton Asia. Ada masanya saya terasa filem ini menjurus ke arah komedi stail Judd Apatow yang celupar, seperti The 40 Year Old Virgin (2005) dan Knocked Up (2007).

Keikhlasan penulis skrip untuk memaparkan fitrah sebenar pasangan bercinta jarak jauh, sedikit terganggu dengan keberanian itu. Sekali dua lawak lucah boleh diterima, tetapi tidak hampir sepanjang filem.

Ada masa-masanya juga gelombang filem ini terasa mendatar pada pertengahan, sedangkan ketika itu konflik perhubungan Garrett dan Erin sedang memuncak. Mungkin Burstein sengaja mengelak daripada menjadi terlalu sentimental atau melodrama.

Secara peribadi, saya merasakan penyudah Going The Distance terlalu ringkas dan mendadak, tidak serumit masalah-masalah yang digambarkan sejak awal.

Sebagai pasangan yang pernah bercinta dalam kehidupan sebenar, Drew Barrymore dan Justin Long tidak perlu berusaha keras untuk mencipta keintiman. Sejarah perhubungan mereka yang panas dingin di luar set penggambaran, menjadi taruhan untuk mengajak peminat ke pawagam.

Malah, Barrymore dan Long bertuah kerana disokong pelakon pembantu yang mempunyai kredibiliti untuk membuatkan penonton ketawa, terutama sekali Christina Applegate sebagai kakak Erin yang bersifat mengongkong; serta Jason Sudeikis dan Charlie Day sebagai teman karib Garrett yang gila-gila.

Dengan mengenepikan dialog-dialog 18SX, filem ini tidak membuatkan saya mencebik. Justeru, Going The Distance tidak berada di dalam kelas yang sama seperti Valentine’s Day, When In Rome atau The Back-Up Plan.