Thursday, October 28, 2010

Takers (2010)

Jangan ambil berat


ADEGAN letupan antara babak menarik dalam filem Takers.


KARAKTER sekumpulan lelaki memakai sut mahal yang menggambarkan betapa hebat atau kayanya mereka bukanlah sesuatu yang asli dalam pembikinan filem Hollywood.

Lebih-lebih lagi apabila mereka adalah penyamun dan penyangak. Contoh terbaik ialah siri Ocean's Eleven (2001), Ocean's Twelve (2004) dan Ocean's Thirteen (2007) dari Steven Soderbergh.

Takers tidak lebih sekadar pengulangan semula elemen-elemen tersebut. Dengan plot, watak serta koordinasi lagak ngeri yang klise, filem arahan John Luessenhop ini tidak menjanjikan sesuatu yang berlainan.

Mengimbas sejarah pembabitannya dalam arena pengarahan, ini merupakan filem keduanya selepas drama bajet rendah Lockdown (2000).

Takers dianggotai sekumpulan penjenayah licik yang mempunyai pelbagai latar belakang dan kemahiran. Mereka bersembunyi di sebalik topeng kerjaya yang lain, seperti memiliki bar dan kelab.

Mereka nyaris ditangkap dalam satu insiden, tetapi terselamat apabila salah seorang ahli kumpulan, Ghost menjadi mangsa penjara. Ghost kemudian dibebaskan awal kerana berkelakuan baik.

Biarpun kepulangannya tidak diterima, namun kumpulan itu bersetuju dengan pelannya untuk merompak van-van keselamatan. Bayangan keuntungan berjuta dolar mengaburkan mata mereka tanpa menyedari Ghost ingin melunaskan dendam.

Pada masa yang sama, penonton diperkenalkan dengan dua karakter stereotaip polis yang cuba memburu kumpulan ini.

Jack sedang berdepan dengan masalah peribadi seperti perceraian dan ketagihan alkohol; manakala Eddie mempunyai konflik keluarga seperti masalah kewangan dan anak pengidap penyakit kritikal.

Sub-plot seperti ini sengaja direka bagi menambahkan drama serta menyelitkan imbangan moral di antara perwatakan hitam dan putih.

Takers memenuhi ciri-ciri tipikal sebuah filem aksi seperti letupan, tembak-menembak dan kejar-mengejar. Malah, Chris Brown yang menjadi salah seorang penerbit filem ini mendapat babak kejar-mengejar yang paling panjang dan paling mendebarkan. Malah, kematian wataknya juga yang paling dramatik.

Tidak dinafikan, adegan-adegan rompakan masih mampu memberi ruang keterujaan dan debaran. Walaupun stail sinematografinya agak bergoncang ala siri filem Bourne (2002-2007), namun ia kemas dan tidak memeningkan kepala.

Takers adalah sebuah filem yang mudah. Karakter-karakternya satu dimensi, bahkan jalan cerita dan kejutannya boleh dibaca sejak awal lagi.

Filem ini terlalu berusaha keras untuk menjadi sebuah drama jenayah yang cool, slick and stylish (rujuk Heat, 1995 atau The Italian Job, 2003) sedangkan ia bukanlah perintis dalam genre sebegini.

Lihat saja babak awal filem apabila mereka berjalan dalam gerak perlahan membelakangi helikopter meletup. Bukankah ini sudah ditonton beratus kali?

Barangkali kebijaksanaan Takers terletak pada pemilihan pelakon. Selain Brown, filem ini turut dijayakan bintang rap T.I sebagai Ghost (yang sejarah hidup sebenarnya pun keluar masuk penjara) serta dua aktor kulit putih pujaan ramai, Paul Walker dan Hayden Christensen.

Kehadiran Matt Dillon, Idris Elba dan Jay Hernandez sedikit sebanyak membawakan kredibiliti kepada standard lakonan, tetapi aktres sehebat Zoe Saldana hanya muncul dalam beberapa adegan tanpa memberikan impak. Kalau watak itu diserahkan kepada pelakon tidak ternama pun tidak menjadi masalah.

Masih banyak yang didahagakan penonton selepas filem ini selesai. Biarpun mungkin ada yang mahu melihat Takers sebagai naskhah hiburan semata-mata, secara peribadi saya tetap mengambilnya sebagai pilihan terakhir.

Thursday, October 21, 2010

The Child’s Eye (2010)

Salah bagi tajuk


Jalan cerita The Child’s Eye longgar serta lakonan yang dipamerkan juga kaku.


THE Child’s Eye mempunyai jentera publisiti yang kuat apabila dipasarkan sebagai filem seram pertama dari Hong Kong, sekali gus Asia, yang menggunakan teknik tiga dimensi.

Apatah lagi ia diusahakan oleh Pang Bersaudara (Oxide dan Danny Pang) yang memang terkenal dengan kebolehan bermain CGI dan mengarahkan filem-filem hantu.

Siapa yang tidak ingat dengan The Eye (2002) lakonan aktres Malaysia, Angelina Lee Sin Je? Filem itu dilabel sebagai antara produk Asia yang paling menyeramkan sehingga Hollywood membikinnya semula pada tahun 2008.

Bagaimanapun, reputasi Pang Bersaudara sedikit tercalar apabila siri sekuelnya, The Eye 2 (2004) dan The Eye 10 (2005) gagal menyaingi yang pertama. Malah, kedua-duanya mendapat kritikan kerana kurang keaslian dan dibuat atas tuntutan box-office.

Masih meneruskan francais ‘mata’ sebagai subjek filem terbaru, The Child’s Eye mengisahkan tiga pasang kekasih dari Hong Kong yang bercuti di Bangkok. Rusuhan politik memaksa mereka memendekkan percutian, namun terperangkap apabila lapangan terbang ditutup.

Situasi huru-hara itu menyebabkan mereka terdampar di sebuah rumah tumpangan lama.

Sifat tipikal cerita hantu, penonton kemudian diperkenalkan dengan watak-watak aneh lagi misteri seperti tuan punya hotel yang tempang dan berwajah bengis; serta tiga kanak-kanak dan seekor anjing yang sering memerhatikan mereka.

Asalnya saya mahu menonton The Child’s Eye dalam versi 3D, tetapi kerana tiada sarikata dan saya tidak memahami Kantonis, hasrat itu dilupakan saja.

Tidak boleh disangkal, filem ini memang menjadi perintis di Asia untuk aplikasi teknologi terkini. Namun demikian, dari segi pembinaan skrip, tiada pembaharuan yang dibawakan.

Apabila The Child’s Eye mengambil latar belakang Thailand iaitu negara yang sinonim dengan kisah-kisah seram dan ghaib, premisnya haruslah kuat; baik dari segi plot mahupun perwatakan.

Lihat saja bagaimana mereka menghasilkan Shutter (2004) atau 4bia (2008), sebagai contoh. Kita masih mampu merasai kesannya selepas beberapa hari menonton.

Perkara ini tidak berlaku kepada The Child’s Eye. Jalan ceritanya longgar, malah lakonan yang dipamerkan juga kaku. Barisan pelakon tidak memberikan dimensi baru kepada watak masing-masing, sebaliknya, hanya mengulang emosi stereotaip filem seram – terkejut, menangis, saling menyalahkan di antara satu sama lain dan terjerit-jerit dalam kebanyakan adegan.”

Meskipun saya tidak menyaksikan versi 3D, namun saya pasti tenaga dan fokus pengarah lebih tertumpu kepada penghasilan imej yang canggih.

Inisiatif itu dapat dilihat dalam beberapa babak; misalnya tangan hantu yang melambai-lambai, manusia separa anjing yang melompat dari siling ke arah penonton, serta ketika Rainie masuk ke dunia lain menerusi pintu sakti ala kartun Doraemon.

Saya tidak dapat memastikan jika penghasilan imej-imej 3D itu tajam atau tidak, tetapi menerusi 2D, ia kelihatan agak animated.

Apa yang menjadikan sesebuah filem seram itu bagus ialah keupayaannya mengekalkan minat penonton untuk terus melekat di kerusi. Sayang sekali, filem ini lebih banyak bergantung kepada taktik kejutan yang basi menerusi bunyi dan muzik. Kitaran ini terlalu klise dan predictable (mudah dijangka).

Lebih menyedihkan apabila teknologi 3D pun tidak dapat membantu atau meyakinkan penonton bahawa The Child’s Eye adalah filem seram yang hebat.

Seiring dengan kemajuan teknologi, penonton juga mahu disajikan dengan idea-idea yang lebih segar. Sudah cukup rasanya kita dimomokkan dengan wanita berambut terurai dan berwajah pucat atau anak kecil yang merangkak-rangkak mengejar mangsa.

Dalam banyak-banyak aspek mengenai filem ini, ada satu saja yang ingin saya puji.

Saya merasakan lakonan Doggy, anjing yang boleh melihat hantu, sangat berkesan dan mencuit hati penonton. Malah sepatutnya tajuk filem ini ditukarkan kepada The Dog’s Eye kerana dialah yang menjadi tunjang kekuatan sebenar.

Thursday, October 14, 2010

The Other Guys (2010)

Filem lelaki yang menjengkelkan


SIFAT kontras watak yang dilakonkan Mark Wahlberg dan Will Ferrell mencetuskan keserasian dalam filem ini.


SAYA bukan peminat setia Will Ferrell, tetapi tidaklah menyampah terus. Ada beberapa filemnya yang mampu membuatkan saya ketawa, antaranya Superstar (1999) dan Blades of Glory (2007).

Saya juga teruja untuk menyaksikan filem animasi Megamind (2010) yang mana dia menyumbangkan suara untuk karakter utama.

Terkenal dengan gaya komedi slapstik (atau dalam bahasa kasarnya lawak bodoh), The Other Guys sekali lagi menyatukan Ferrell dengan pengarah Adam McKay.

Kerjasama mereka bermula sejak Saturday Night Live (1995-2007); malah di bawah pengarahan McKay, Ferrell berpeluang menghidupkan fantasi kanak-kanaknya seperti menjadi wartawan (Anchorman: The Legend of Ron Burgundy, 2004) dan pemandu kereta lumba (Talladega Nights: The Ballad of Ricky Bobby, 2006).

Fantasi terbaru mereka ialah main-main polis. Di dalam The Other Guys, Ferrell digandingkan dengan Mark Wahlberg, satu contoh ideal seorang detektif - serius dan sasa.

Ferrell ialah Allen Gamble, polis yang hanya mahu membuat kertas-kertas kerja di pejabat tanpa menyelesaikan kes di lapangan; manakala Wahlberg sebagai Terry Hoitz yang semangatnya berkobar-kobar tetapi kurang cerdik.

Di tempat mereka bekerja, P.K Highsmith dan Christopher Danson (kemunculan istimewa Samuel L. Jackson dan Dwayne 'The Rock' Johnson) ialah pasangan detektif yang amat disegani. Mereka cekap, berani dan sering menyelesaikan kes berprofil tinggi sehinggalah satu hari terkorban dalam kemalangan.

Kematian Highsmith dan Danson mendorong detektif lain untuk mengikut jejak langkah mereka, termasuk Hoitz. Namun kerana Hoitz dipandang rendah rakan sekerja, dia tiada pilihan selain 'memaksa' Gamble ikut serta dalam setiap kes yang ingin diselesaikannya.

Sifat kontras Hoitz dan Gamble mencetuskan keserasian, walaupun mereka saling membenci di antara satu sama lain.

The Other Guys tidak ubah ibarat parodi kepada filem aksi klasik lakonan Mel Gibson dan Danny Glover, Lethal Weapon (1987); kecuali Ferrell dan Wahlberg lebih menjengkelkan.

Saya bukan peminat setia Ferrell. Justeru, beberapa jenaka fizikalnya yang over-the-top serta dialog yang agak kotor di dalam filem ini, tidak berjaya membuatkan saya ketawa.

Kalau ada pun, saya hanya tersenyum sinis dalam kehairanan. Tetapi sila maklum, itu bukan salah Ferrell mahupun pengarah. Ini soal citarasa.

Wahlberg melengkapi kedangkalan Ferrell, cuma lawaknya lebih subtle dengan reaksi wajah yang tegak, bersesuaian dengan karakter Hoitz itu sendiri.

Bayangkan Staff Sgt. Dignam daripada filem The Departed (2006), tetapi bodoh-bodoh alang. Itulah yang penonton dapat daripada Wahlberg di dalam The Other Guys.

Kehadiran Steve Coogan sebagai penyangak David Ershon menambah variasi filem ini dengan aroma komedi Britain-nya, begitu juga dengan kelibat Michael Keaton yang mengubati rindu peminat untuk melihat dia beraksi semula di layar perak.

Jangan terlepas dengan cameo beberapa bintang terkenal lain seperti Brooke Shields, Rosie Perez dan pemain besbol Derek Jeter.

Sementara itu, kemunculan Eva Mendes pula tidak lebih sekadar memenuhi ruang khayalan Ferrell dan McKay, di mana wanita sehangat itu boleh jatuh cinta kepada lelaki sehodoh Gamble. 'Filem lelaki' seperti ini memerlukan seorang aktres seksi sebagai eye-candy.

Walaupun plot filem ini cuba berlaku bijak dengan memasukkan elemen-elemen bisnes dan kewangan, namun ia tidak meyakinkan.

Siasatan Gamble dan Hoitz terhadap misteri penyelewengan yang dilakukan Ershon, kelihatan bercelaru dan mengelirukan.

Apa yang jelas hanyalah babak demi babak komedi yang terlebih-lebih. Barangkali sebagai penyedap hati, adegan-adegan aksi, kejar-mengejar dan letupan yang dikoreograf untuk filem ini agak membanggakan.

Sekurang-kurangnya, The Other Guys tidak mungkir janji dengan labelnya sebagai sebuah lagi filem aksi komedi.

Thursday, October 7, 2010

Charlie St. Cloud (2010)

Lebih gimik daripada tragik


HUBUNGAN abang dan adik yang dilakonkan oleh Zac Efron (kiri) dan Charlie Tahan cukup berkesan dalam filem Charlie St. Cloud.


MELETAKKAN Zac Efron sebagai bintang utama sebuah melodrama seperti Charlie St. Cloud, sasaran demografi filem ini sudah pun ditetapkan - khusus untuk remaja dan penggila aktor tersebut. Justeru, labelnya jelas sebagai sebuah filem yang ringan.

Bagaimanapun, apa yang menarik ialah sedutan filem ini memberi indikasi bahawa ia cuba menukar imej Efron; daripada seorang lelaki tampan yang sekadar tahu menari dan menyanyi (rujuk siri High School Musical, 2006-2008 dan Hairspray, 2007) kepada seorang aktor berkarakter.

Saya tidak menafikan berminat untuk menonton Charlie St. Cloud kerana trailernya. Dibantu muzik latar yang sesuai (terutamanya lagu Run dari Snow Patrol) dengan suntingan yang kemas, saya mengharapkan filem ini terhasil sebagai sebuah naskhah air mata yang baik, sekurang-kurangnya satu guilty pleasure.

Charlie St. Cloud mengisahkan seorang jejaka bernama Charlie yang begitu akrab dengan adiknya, Sam. Malangnya, satu kemalangan jalan raya mengubah hidupnya apabila Sam terbunuh. Charlie dihantui rasa bersalah kerana mereka tidak sepatutnya keluar rumah pada malam itu.

Kehilangan itu menjadikan Charlie seorang yang pemuda yang suka mengasingkan diri. Bekerja di tanah perkuburan tempat Sam disemadikan, penonton kemudiannya diberitahu yang Charlie mampu berkomunikasi dengan roh - sama ada roh adiknya mahupun kawannya.

Saban petang dia akan berlatih besbol dengan roh Sam di dalam hutan, sehinggalah fokusnya itu terganggu dengan kehadiran seorang gadis pelayar bernama Tess. Keakraban mereka menyebabkan roh Sam rasa tersisih, tanpa menyedari Tess juga sebenarnya adalah roh yang ingin meminta pertolongan.

Subjek roh berkomunikasi dengan manusia pernah ditampilkan dengan menarik dalam The Sixth Sense (1999) dan The Lovely Bones (2009). Jurang di antara realiti dan fantasi dibahagikan secara jelas tanpa mengelirukan penonton.

Namun demikian, saya menghadapi sedikit masalah semasa menonton Charlie St. Cloud. Saya kurang pasti jika Charlie benar-benar mampu melihat roh Sam dan Tess atau itu hanya imaginasinya? Adakah Charlie sekadar berhalusinasi?

Adakah dia memperolehi deria keenam itu akibat kemalangan jalan raya? Dan sejauh mana deria itu berfungsi kerana dia digambarkan boleh berkomunikasi dengan roh tertentu saja?

Cubaan pengarah untuk mengembangkan plot dan karakter dirasakan terlalu mengambil masa, menyebabkan perjalanan filem mendatar dan boleh dijangka.

Tidak salah untuk menyajikan sebuah lagi karya yang formulaic, tetapi olahan Burr Steers (Igby Goes Down - 2002 dan 17 Again - 2009) tidak cukup mencengkam. Sayang sekali apabila sisi gelap dan tertekan Charlie tidak dimanipulasi sepenuhnya. Lalu, apa yang muncul sebagai produk akhir ialah sebuah drama standard, tidak lebih dari apa yang selalu kita tonton di saluran Hallmark.

Tiada banyak yang boleh diperkatakan mengenai aspek lakonan, walaupun diuar-uarkan Efron cuba tampil sebagai pelakon yang lebih serius. Kemunculan nama-nama besar seperti Kim Basinger dan Ray Liotta juga tidak banyak membantu. Mereka sekadar memenuhi masa tayangan dengan lakonan yang biasa.

Kalau ada pun yang menonjol, mungkin kredit boleh diberikan kepada Charlie Tahan sebagai Sam yang menjentik emosi penonton menerusi sifatnya yang rapuh.

Untuk berlaku adil, sepuluh minit pertama filem ini berjaya 'mendakap' saya dalam kehangatan perhubungan adik dan abang. Sinematografinya juga berada pada tahap memberangsangkan, kalau pun tidak cemerlang atau menampilkan sebarang kelainan yang nyata.

Sedutan filem Charlie St. Cloud nampaknya lebih berjaya memikat saya daripada cereka penuh. Strategi pemasaran untuk menaikkan 'darjat' Efron sebagai pelakon filem tragik nampaknya tidak lebih dari setakat gimik.