Thursday, February 24, 2011

BLACK SWAN (2011)

Gelap yang mempesona


NATALIE Portman memberikan persembahan yang sempurna dalam filem Black Swan.


TIDAK keterlaluan kalau saya katakan ini adalah filem terbaik Darren Aronofsky. Apa yang digembar-gemburkan mengenainya bukan sekadar gimik atau publisiti kosong.

Black Swan sememangnya sebuah naskhah yang bukan saja layak masuk Oscar, tetapi mampu menghiburkan khalayak massa.

Nina Sayers, lakonan Natalie Portman ialah seorang penari balet yang bercita-cita tinggi. Dia berusaha keras untuk membuktikan dirinya bernilai, apatah lagi memikul keinginan ibunya yang tidak kesampaian.

Apabila syarikat baletnya berdepan masalah, pengarah Thomas Leroy, lakonan Vincent Cassel membuat keputusan untuk memperbaharui versi klasik Swan Lake. Pemilihan Nina sebagai bintang utama yang dilihat sebagai satu rahmat, sebenarnya membawa kecelakaan.

Watak yang diserahkan kepada Nina adalah dua peranan berbeza. Dia harus menjadi White Swan yang penuh kemurnian, dalam masa yang sama sebagai pasangan kembarnya Black Swan yang jahat. Pencarian sifat hitam di dalam dirinya menjadikan Nina serba keliru.

Bukan itu saja, Nina berdepan dengan tekanan untuk menjadi lebih baik daripada primadona Beth Mcintyre, lakonan Winona Ryder. Dia juga berasa terancam dengan kehadiran penari baru, Lily, lakonan Mila Kunis. Obsesi Nina dalam mengejar kesempurnaan telah menggugat mental dan fizikalnya.

‘Kesakitan’ yang dialami Nina dipaparkan sejak awal filem. Dia mula melihat wajah orang lain di cermin dan mempunyai kesan luka yang tidak tahu punca.

Semakin filem bergerak, penonton semakin jelas bahawa Nina mengalami masalah halusinasi yang kronik sehingga tidak dapat membezakan realiti.

Black Swan merupakan satu pengalaman tontonan yang mengasyikkan. Naskhahnya bersempadan antara perkara yang indah dan yang menakutkan, seperti mana yang pernah dipamerkan Aronofsky menerusi The Wrestler (2008) dan Requiem for a Dream (2000).

Di antara drama, psycho-thriller dan horror, sukar untuk mengklasifikasikan filem ini pada satu genre. Pengarah muda ini bijak membuatkan penonton berasa tidak selesa, namun tetap mahu menyaksikannya.

Black Swan dibuka dengan agak perlahan, tetapi sebaik saja ‘kegilaan’ Nina bermula, filem ini tidak akan lepas dari pandangan. Imaginasi Aronofsky berjaya mengelakkan momentum filem ini dari meleret atau menjunam.

Penonton dapat merasai transformasi Nina daripada satu karakter yang tulus kepada karakter yang mengerikan. Salah satu babak yang paling saya gemari ialah antara babak terakhir, ketika ‘tumbuhnya sayap’ Nina sebagai Black Swan. Kesan yang dipamerkan sangat mengagumkan.

Visual dan suntingan memainkan peranan penting dalam menjadikan filem ini cemerlang. Black Swan banyak bermain dengan warna hitam dan putih serta cermin yang menjadi perlambangan sifat baik, jahat dan penuh misteri.

Karakter-karakter utama seperti Nina, ibunya, Lily dan Thomas, diberikan beberapa dimensi, agar penonton sentiasa meneka dan tertanya-tanya.

Seperti filem-filemnya sebelum ini, terutamanya Closer (2004), Portman tidak pernah mengecewakan.

Malah, dalam Black Swan, dia bukan saja memberikan persembahan berkesan tetapi adjektif yang paling sesuai ialah sempurna.

Di mata penonton, dia bukan lagi seorang pelakon, tetapi seorang penari balet sebenar bernama Nina yang hidupnya serba tidak keruan. Adalah sesuatu yang sangat pelik jika Oscar tidak memilih Portman sebagai Pelakon Wanita Terbaik.

Barisan pemain pembantu melengkapi lakonan luar biasa Portman, terutama sekali Kunis yang selama ini tidak diselongkar keupayaannya.

Wataknya, Lily yang terheret dalam fantasi Nina, berjaya mengelirukan penonton untuk mempercayai dia adalah antagonis.

Walaupun kebarangkalian Black Swan untuk menang Filem Terbaik Oscar agak jauh, namun saya menganggap filem ini adalah adikarya Aronofsky.

Saya bersetuju dengan pandangan seorang rakan, bahawa pengarah ini membawa tafsiran seram yang baru, seperti mana zaman keemasan Roman Polanski dengan Rosemary’s Baby (1968) atau The Tenant (1976).

Thursday, February 17, 2011

THE RITE (2011)


Mengulang ritual serupa

SELEPAS The Exorcist (1973), Hollywood dikatakan gagal menemui filem rasukan sehebatnya. Filem arahan William Friedkin itu dianggap sebagai naskhah klasik yang mampu membuatkan penonton mengalami mimpi ngeri. Malah, berupaya menakutkan walau ditonton pada siang hari.

Sekuelnya, The Exorcist II (1977) dan The Exorcist III (1990) tidak sebaik yang pertama, apatah lagi menandinginya. Kemunculan filem bertema serupa seperti The Exorcism of Emily Rose (2005) atau The Last Exorcism (2010) tidak lebih dari sekadar mencuba nasib.

Tiada satu pun daripada filem-filem itu membuatkan bulu roma penonton berdiri tegak untuk tempoh yang panjang. Jika ada pun, ia masih dibayangi perasaan seram The Exorcist - rujuk adegan kepala berpusing-pusing, muntah hijau, imej wanita berambut kusut dan kerasukan melampau.

Meskipun filem-filem sebegini mahu menyelitkan mesej 'baik melawan jahat', sejujurnya penonton tidak peduli. Apa yang mereka mahu ialah ditakut-takutkan.

Justeru, apabila Mikael Hafstrom (Derailed, 2005) turut menekankan mesej tersebut di dalam pengarahan terbarunya, penonton agak kurang menghargai.

The Rite diinspirasikan daripada buku tulisan Matt Baglio, The Rite: The Making of a Modern Exorcist. Baglio ialah seorang wartawan yang menyertai seminar tajaan Vatican tentang ilmu menentang syaitan.

Filem ini memberi fokus kepada dua karakter utama, iaitu Michael Kovak, pelajar di seminar tersebut dan Father Lucas Trevant, paderi berpengalaman yang sudah melakukan beribu-ribu ritual menghalau kuasa hitam.

Kovak ialah seorang lelaki yang penuh curiga, bukan saja terhadap sihir tetapi tentang keinginannya sendiri. Dia menganggap apa saja yang berlaku sebagai satu gangguan psikologi, bukan dari makhluk halus.

Kovak sering saja mempersoalkan tindakan dan kepercayaan Trevant dari setiap sudut, sehinggalah paderi tua itu sendiri dirasuk. Di tangan Kovak terletak tanggungjawab untuk menyelamatkan Trevant yang berada di ambang maut.

Gerak filem ini bermula perlahan. Malah, selepas setengah jam pun, The Rite masih dalam usaha untuk mengukuhkan plot.

Penonton tidak boleh disalahkan jika mereka bosan tetapi mungkin pengarah mahu mewujudkan perasaan yang lebih jujur terhadap setiap peristiwa dan tidak terburu-buru.

Dalam keterujaan menanti apa yang bakal berlaku seterusnya, saya sedikit terasing dengan karakter Kovak, lebih-lebih lagi selepas kemunculan Trevant. Emosi Kovak seakan-akan tidak kesampaian. Penonton tidak berdaya menyelami jiwanya sehingga satu tahap, saya tidak mempedulikan dia lagi.

Saya percaya faktor itu disebabkan Anthony Hopkins. Kekuatan lakonannya bukan saja menutupi kelemahan filem tetapi turut menenggelamkan pemain lain, terutamanya pada 45 minit terakhir. Saya sendiri memejamkan mata beberapa kali semasa babak dia dirasuk.

Di tangan Hopkins, Trevant barangkali mengingatkan peminat kepada watak popularnya, Dr. Hannibal Lecter dalam The Silence of the Lambs (1991). Persamaan itu bukanlah dari segi sifat atau ciri-ciri karakter tetapi pembawaan Hopkins yang penuh misteri, di antara bersahaja dan bersungguh.

Malang bagi Colin O'Donoghue yang menggalas peranan Kovak kerana tidak dapat 'mengejar' kehebatan Hopkins sehingga tertinggal di belakang.

The Rite adalah satu lagi produk seram Hollywood. Ia mengulang ritual serupa untuk sebuah naskhah seram. Penamatnya bukanlah sesuatu yang di luar jangkaan. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan Hopkins ialah segala-galanya bagi filem ini.

Sewajarnya pun poster The Rite hanya memaparkan wajah dia seorang.

Thursday, February 10, 2011

BURLESQUE (2011)

Kemilau di sebalik klise


CHRISTINA Aguilera melengkapi pakej untuk karakter Ali dan faktor usia boleh dimaafkan dengan mudah.


TIADA apa yang baru mengenai jalan ceritanya. Seorang gadis bernama Ali meninggalkan bandar kecil Iowa untuk mengejar lampu neon Los Angeles. Bercita-cita menjadi penyanyi, dia terjumpa sebuah kelab, Burlesque yang dimiliki Tess.

Kagum dengan persembahan di kelab tersebut, Ali cuba mendapatkan pekerjaan di situ. Dia bermula sebagai pelayan sebelum berjaya meyakinkan Tess bahawa dia memiliki bakat yang hebat sebagai penghibur.

Kerana rumahnya dirompak, Ali terpaksa menumpang di rumah rakan sekerja, seorang lelaki tampan bernama Jack. Perasaan cinta mula berputik tetapi mereka cuba menafikannya, apatah lagi Jack sudah bertunang.

Dalam masa yang sama, Burlesque mempunyai masalah kewangan. Tess dihimpit dengan dilema sama ada mahu terus menanggung beban hutang atau menjualkan saja kelab itu.

Sangat klise, bukan? Plot sebegini bukanlah sesuatu yang di luar kotak, malah tanpa menyaksikannya pun, penonton sudah boleh mengagak. Kerana sifatnya sebagai filem muzikal yang berlatarkan sebuah kelab, Burlesque tidak dapat lari dari disamakan dengan Chicago (2002) atau Cabaret (1972).

Barangkali tiada apa yang asli dari sudut penceritaan, teknik mahupun koreografi. Saya sendiri agak skeptikal, membayangkan Burlesque hanyalah gabungan filem-filem lain seperti Coyote Ugly (2000) campur Nine (2009).

Bagaimanapun, saya percaya peminat tidak dapat menolak kuasa keserasian yang dicetuskan Christina Aguilera dan Cher. Saya lega kerana filem sulung Aguilera tidak menjadi sampah seperti filem Mariah Carey, Glitter (2001) atau filem Britney Spears, Crossroads. (2002).

Lakonan Aguilera tidaklah fantastik, tetapi dia sudah melakukan apa yang sepatutnya. Suka atau tidak, vokalnya cukup bertenaga untuk ‘mengangkat’ filem ini, ditambah gerak tari yang meyakinkan.

Kalau hendak diikutkan, pada usia 31 tahun, Aguilera agak tua untuk peranan ini. Namun, dia melengkapi pakej untuk karakter Ali dan faktor usia boleh dimaafkan dengan mudah.

Sebagai pemenang Oscar, keupayaan Cher tidak boleh diragukan. Selepas lebih sepuluh tahun tidak muncul dengan watak utama di layar perak, dia membuat keputusan yang tepat dengan membintangi Burlesque. Watak Tess sebagai ‘mentor’ sangat layak untuk Cher dan ditangani dengan baik.

Sejujurnya, lagu-lagu yang dipersembahkan sukar untuk menjadi malar segar kerana kebanyakannya berbunyi hampir serupa. Namun, mengikut konteks cerita, ia mampu menghiburkan.

Bagi peminat setia Cher, You Haven’t Seen The Last Of Me adalah bonus terbaik. Lagu itu menang anugerah Lagu Asal Terbaik Golden Globe dan merupakan rakaman pertama Cher dalam tempoh 7 tahun. Babak ketika menyanyikan lagu itu juga dirakamkan dalam suasana drama yang tidak keterlaluan, ketika Tess sedang kusut.

Sebagai pengarah baru yang tidak mempunyai profil kukuh, Steven Antin bijak menggunakan kekuatannya. Pernah menjadi penerbit eksekutif siri televisyen Pussycat Dolls Present: Girlicious (2008), dia tahu kelebihannya adalah pada drama muzikal dengan koreografi, set dan kostum yang gah.

Gaya penulisannya juga pantas serta tepat, dibumbu sedikit humor dan melankolik.

Antin bertuah kerana barisan pelakon berpengalaman bersetuju membantunya. Bintang sokongan seperti Stanley Tucci, Peter Gallagher, Alan Cumming dan Eric Dane menambahkan seri.

Cuma pemilihan Kristen Bell sebagai Nikki, saingan utama Ali dirasakan sedikit janggal. Sepatutnya watak Nikki diserahkan kepada pelakon yang lebih dahsyat skil tariannya dan mempunyai raut wajah yang lebih menjengkelkan.

Sebagai sebuah produk muzikal, memang tiada apa yang baru mengenai Burlesque. Sebaik saja ia bermula, penonton sudah tahu apa yang bakal mereka dapat. Biarpun klise, filem ini masih mempunyai kemilau razzle-dazzle yang mampu menutup kekurangan.

Silap-silap, sebaik saja ia berakhir, anda masih tidak puas dan mahu menontonnya lagi.

Thursday, February 3, 2011

HAQ (2011)

Haq yang keliru


SALAH satu babak filem Haq yang kini ditayangkan di pawagam tempatan.


MENYAKSIKAN sedutan filem Haq tahun lalu, saya menyimpan keyakinan bahawa filem ini bakal menjadi 'sesuatu'. Sedutannya nampak mahal hasil sinematografi dan suntingan yang kemas, apatah lagi barisan pelakonnya bukan sekadar wajah majalah.

Dalam lambakan filem Melayu yang mahu menjual komersial semata-mata, Haq memberikan saya persepsi yang berbeza.

Jujurnya, saya tidak mengharapkan Haq menjadi filem yang luar biasa tetapi sekurang-kurangnya sebuah produk yang mampu bercerita dengan baik.

Shamsul Haq ialah seorang kanak-kanak yang dianugerahkan kuasa aneh, sama seperti bapanya. Dia berupaya menggerakkan objek di sekeliling menerusi kawalan minda. Kebolehannya itu dicemburui abang angkatnya, Badrul Hisham.

Sifat iri hati itu dibawa sehingga mereka dewasa. Haq membesar sebagai lelaki yang berhemah hasil didikan agama, manakala Bad yang menghilangkan diri bertahun-tahun akhirnya pulang ke Malaysia dengan dendam dan amarah.

Sinopsis di atas saya baca sebelum menghadiri tayangan perdana filem ini. Sayangnya, selepas menyaksikannya pun, hanya itulah yang saya dapat.

Dalam erti kata lain, Haq tidak menawarkan saya sesuatu yang ekstra, selain apa yang saya tahu menerusi sinopsis.

Haq cuba menyampaikan cerita menerusi bingkai-bingkai gambar yang cantik. Namun, selepas setengah jam menonton, saya masih tidak mampu menangkap isinya.

Persoalan demi persoalan berlegar di fikiran dan sehingga ke penghujung, saya tidak mendapat jawapan.

Saya tertanya-tanya; dari mana Bad tiba-tiba mendapat kuasa sakti, sedangkan pada awal cerita, dia digambarkan seorang manusia normal?

Bagaimana dia boleh berhubung dengan Haq secara telepati? Apa signifikannya guli-guli merah bercahaya? Siapa sebenarnya Aina dan apa pertaliannya dengan keluarga Haq?

Maaf, saya tidak boleh mengenepikan persoalan-persoalan itu kerana ia adalah kunci cerita. Tanpa memahaminya, saya tidak mampu menikmati filem ini.

Kelebihan teknikal, stail penggambaran dan lakonan bersungguh-sungguh tidak cukup untuk menutup kekeliruan tersebut.

Haq tidak mampu 'menggenggam' satu-satu aspek dengan cukup berkesan. Filem ini berada di tengah-tengah garisan, di antara menjadi dengan tidak.

Hendak dikatakan drama, ia tidak cukup menyentuh. Hendak dikatakan aksi, ia biasa-biasa saja. Hendak dilabelkan filem superhero? Belum lagi.

Efek yang ditampilkan sekadar cukup makan. Ia tidak buruk tetapi tidak juga memukau. Lagak ngeri atau aksinya juga tidak mampu membuatkan penonton tercengang.

Adegan pertarungan sambil terbang di antara Haq dan Bad tidak terasa kemuncaknya. Sedangkan babak itulah yang sepatutnya menjadi babak paling kuat dalam filem ini. Malah grafik sistem pemanduan ala Tron semasa Haq menjejaki Zahra kelihatan amatur.

Sebagai pelakon berkredibiliti, Zul Huzaimy sudah memberikan sedaya-upaya untuk menyelamatkan Haq. Begitu juga dengan Fatimah Abu Bakar, Nanu Baharudin dan Raja Farah yang memberikan persembahan terbaik.

Cuma lakonan Adi Putra yang masih berada dalam lingkungan tipikal watak jahat. Bisik suara, ketawa dan mimik wajahnya tidak mengenal erti subtle. Begitupun, lakonan mereka terasa dipersia tanpa pembangunan karakter yang sewajarnya.

Saya tidak mahu mempersoalkan bagaimana Haq boleh memenangi anugerah Lakon Layar Terbaik pada Festival Filem Malaysia yang lalu. Saya juga tidak mahu meragui hasrat penerbit yang dikatakan ingin menghasilkan sambungan filem ini.

Akan ada sekuel atau prekuel, itu soal kedua. Penonton berhak untuk mengetahui apa yang sedang disaksikan. Sesebuah filem harus mampu berdiri sendiri, apatah lagi sebagai filem pertama yang sepatutnya menjadi teras sesebuah naskhah atau 'jenama'.