Thursday, June 30, 2011

RASUK (2011)

SECARA dasarnya, Rasuk menyajikan sebuah cerita seram yang tipikal. Sepasang suami isteri berpindah ke rumah lama yang diwariskan kepada mereka, kemudian si isteri dirasuk kuasa jahat yang ingin membalas dendam.

Misteri yang menghantui mereka akhirnya terjawab. Tetapi malangnya, saya pula yang tidak mendapat jawapan kepada banyak perkara yang direka penulis skrip, Ikhzal Ideris dan pengarah, S. Baldev Singh.

Jika anda bercadang menyaksikan filem ini, barangkali anda patut berhenti membaca ulasan seterusnya. Beberapa perkara, termasuk penamat akan didedahkan di sini.

Saya percaya Rasuk dibikin dengan niat untuk hiburan dan mungkin menyampaikan sedikit nilai moral atau mesej positif.

Justeru, kerana ia bukan satu naskhah falsafah, filem ini sepatutnya mudah difahami, jelas dan tidak membiarkan penonton tertanya-tanya sebaik saja ia selesai.

Apa pun ilham yang dikembangkan penulis skrip adalah hak mereka. Bijak atau tidak idea tersebut adalah perkara kedua. Apa yang paling penting ialah justifikasi mengapa penulis mewujudkan perkara itu dan bukan kerana sengaja mengada-adakan sesuatu tanpa sebab.

Si isteri yang bernama Melati sebenarnya dirasuk roh tentera Jepun yang ingin membalas dendam ke atas keturunan wanita itu.

Apa yang merugikan Ikhzal dan Baldev ialah apabila mereka tidak membangunkan kisah dendam itu sebagai tunjang utama.

Penonton hanya diberikan satu babak imbas kembali dan sekilas penerangan tentang sejarah pembunuhan daripada tukang kebun, Pak Mail.

Adalah lebih berkesan sekiranya sejarah itu dipaparkan dengan lebih terperinci - bagaimana tentera Jepun itu begitu dibenci dan perhubungannya dengan Melati.

Babak imbasan yang dipaparkan tidak cukup kuat untuk penonton percaya betapa marahnya tentera Jepun itu sehingga mahu menuntut bela atas kematiannya.

Mengapa 'akar' cerita tidak diberi tumpuan, sebaliknya Ikhzal dan Baldev melebihkan babak Melati dirasuk sehingga meleret-leret?

Barangkali lakonan Fouziah Gous belum cukup hebat untuk menang Pelakon Wanita Terbaik. Tetapi saya akui cukup tersiksa melihat dia menjerit, meracau-racau, memanjat tiang, berlari-lari dan melakukan pelbagai gerak tubuh sehingga ke tahap yang melucukan.

Mungkin Ikhzal dan Baldev menjadikan filem popular seperti The Exorcist (1973) dan The Exorcism of Emily Rose (2005) sebagai rujukan, di mana babak rasukan saja memakan masa berminit-minit.

Namun, Rasuk tidak mempunyai momentum seperti dua filem itu untuk penonton rasa takut, ngeri apatah lagi bersimpati.

Pembinaan watak dalam filem ini tidak dipedulikan dan bercelaru. Watak Pak Mail bukan saja stereotaip - tukang kebun yang berperibadi menakutkan dan menjadi bahan syak wasangka - tetapi diragui kewarasannya.

Penonton menyangkakan dia bisu kerana hanya tahu merengus, sehinggalah beberapa minit terakhir dia tiba-tiba bersuara. Jika itu disengajakan, apa sebabnya Pak Mail tidak mahu bercakap dari awal?

Watak doktor pula begitu menjengkelkan. Agak aneh apabila Ikhzal dan Baldev memilih watak profesional seperti ini sebagai comic relief.

Doktor mana yang mentertawakan pesakit, walaupun memberi alasan ketawa itu menghilangkan tekanan? Malah, sehingga menziarah kubur pun doktor masih ketawa!

Saya tidak faham mengapa ketika Melati dirasuk, dia turut membunuh doktor tersebut? Bukankah roh tentera Jepun itu hanya mahu membunuh keturunan Melati?

Apa kaitannya dengan doktor? Mengapa roh jahat itu tiba-tiba membalas dendam (bagi pihak siapa?) kerana doktor pernah mencabul pesakit-pesakitnya?

Sebenarnya, idea Melati seorang penulis skrip yang mengalami krisis personaliti adalah idea yang bernas, tetapi tidak diterokai.

Saya sangat hairan, kerana fitrah manusia biasa, jika sudah terasa diganggu dan tidak selesa dengan rumah itu, mengapa masih tegar tinggal di situ? Melati dan suami, Amran sangat berani.

Seharusnya, apabila membabitkan babak-babak keagamaan, Ikhzal dan Baldev perlu mendapatkan nasihat golongan yang lebih arif.

Watak Pak Imam di dalam filem ini terasa diperkecil-kecilkan kerana kehadirannya sekadar untuk memberitahu Amran supaya membacakan ayat Kursi.

Mengapa Pak Imam sanggup datang ke rumah tetapi bukan dia yang membacakan? Upacara membebaskan Melati dari rasukan tidak meyakinkan dan terlalu senang.

Saya minta maaf jika ulasan ini menyinggung perasaan, tetapi apa yang dihuraikan adalah kepincangan penceritaan.

Dari segi lakonan, Fouziah dilihat sudah sedaya upaya berusaha, manakala Iqram Dinzly terlalu mencuba. Mungkin apa yang boleh dibanggakan ialah imej janaan komputernya (CGI) yang tidak berlebih-lebihan tetapi kemas dan nampak asli, jika tidak sempurna.

Thursday, June 23, 2011

GREEN LANTERN (2011)


Perlukan lebih 'watt'

SEBELUM ini, filem-filem seperti X-Men atau Spider-Man dilihat sebagai sebuah naskhah aksi; diletakkan dalam satu kategori yang lebih umum sifatnya. Bagaimanapun, lewat kebelakangan ini (terutamanya setiap kali musim panas), filem-filem superhero sudah pun dikhususkan dalam genrenya sendiri.

Ini menandakan permintaan yang tinggi terhadap filem-filem adaptasi komik dan kebanjirannya membuatkan penerbit lebih kompetetif.

Pembikinannya diambil serius, bukan saja dari aspek teknikal seperti efek khas dan lagak ngeri, tetapi dari sudut penceritaan yang lebih kemanusiaan dan 'berisi'.

Green Lantern meneruskan legasi komik DC seperti Superman dan Batman yang dibawa ke layar perak.

Walaupun asas penceritaannya sama - seorang lelaki biasa yang bertukar sifat menjadi luar biasa - Green Lantern cuba menawarkan plot yang lebih mistikal dengan mengaitkan kuasa dari angkasa. Hal Jordan ialah seorang pemandu pejuang yang 'dipilih' oleh kuasa cincin kepunyaan Abin Sur yang sedang nazak.

Insan terpilih ini bakal meneruskan perjuangan komuniti The Green Lantern di Planet Oa yang dinaungi sekumpulan penjaga yang dipanggil The Guardian untuk membanteras kejahatan.

Untuk seorang yang bukan pengikut komiknya, kefahaman saya terhadap jalan cerita Green Lantern hanya setakat itu. Saya percaya falsafah dari komik asal lebih mendalam, bercerita tentang ketamakan dan perebutan kuasa dengan karakter-karakter berat seperti Sinestro, Kilowog atau Tomar-Re.

Namun, cara skrip ditulis membuatkan saya tidak mahu ambil peduli. Apa yang ingin ditonjolkan hanyalah transformasi Hal menjadi Green Lantern, sedikit rencah cinta di antara Hal dan rakan lamanya, Carol Ferris serta keinginan Dr. Hector Hemmond untuk diperhatikan sehingga dia bertindak di luar batas.

Saya tidak pasti jika itu memang disengajakan kerana tempoh tayangan yang terhad atau supaya penonton lebih mudah menghadamnya, terutama sekali kanak-kanak.

Kerana filem ini diterbitkan dalam kepesatan genre adiwira, imej janaan komputer (CGI) yang digunakan tidaklah 'wow', malah terasa seperti tiada apa-apa kemajuan. Rasanya sepuluh tahun dulu pun, teknologi seperti dalam Green Lantern sudah mampu dihasilkan.

Cincin ajaib menjadi elemen terpenting atau mungkin alasan paling kukuh untuk pengarah Martin Campbell (Casino Royale, 2006) menciptakan imej ala kartun apabila Jordan bertukar menjadi Green Lantern.

Penonton 'dihantar' ulang alik dari angkasa ke bumi dalam gerak yang tidak seimbang, malah kuasa di antara Hal dan lawannya, Dr. Hector juga kelihatan tidak setara.

Hal/Green Lantern digambarkan menjalani latihan untuk membiasakan diri dengan kuasa yang dimiliki, sedangkan kuasa yang diperolehi Dr. Hector adalah secara tidak sengaja iaitu melalui jangkitan radiasi.

Begitupun, dari mana sumber kuasa sebenarnya tidak penting, namun ia menjadikan pertarungan terakhir nampak terburu-buru, tidak mendebarkan dan berat sebelah. Malah, percaya atau tidak, kebanyakan babak aksi sudah pun disaksikan dalam 'trailer'.

Mark Strong merupakan pilihan yang tepat untuk watak Sinestro. Hubungan panas dingin Sinestro dan Hal mungkin boleh diperkembangkan lagi supaya peminat dapat merasakan talian emosi dan konflik di antara mereka (rujuk perhubungan Peter Parker dan Norman Osbourne dalam tiga filem Spider-Man; 2002-2007).

Ini adalah persiapan sekiranya Green Lantern dibikin untuk sekuel apabila Sinestro beralih arah kepada kuasa jahat.

Lakonan Peter Sarsgaard sebagai Dr. Hector berada pada tahap biasa kerana aktor ini memang sinonim dengan watak antagonis. Apa yang lain barangkali hanyalah bentuk fizikalnya yang lebih kecil dan kurus, serta teknik solekan yang merubah wajah.

Blake Lively juga sekadar pelakon untuk melengkapi plot percintaan. Wataknya tidak memberikan sebarang impak (sekali lagi mengambil contoh Spider-Man) seperti mana penonton percaya dengan perasaan Mary Jane (lakonan Kirsten Dunst) terhadap Peter Parker (Tobey Maguire).

Ryan Reynolds adalah Ryan Reynolds yang biasa kita tonton. Secara keseluruhan, dia tidaklah mengecewakan, tetapi tidaklah juga mengagumkan.

Watak Hal/Green Lantern di tangannya adalah sifat biasa Reynolds - komikal, acuh tidak acuh tetapi masih heroic - yang pernah kita saksikan dalam sitkom Two Guys, a Girl and a Pizza Place (1998-2001) atau Van Wilder (2002).

Green Lantern tidak termasuk dalam senarai filem musim panas pilihan, apatah lagi filem superhero yang akan terus dikenang. Cahaya lantera hijaunya perlukan kuasa 'watt' yang lebih tinggi.

Thursday, June 16, 2011

KL GANGSTER (2011)

Syamsul 'gangster'


LAKONAN Syamsul Yusof menunjukkan kematangan dalam filem terbaru arahannya ini.


SECARA kasar, Gangster dilihat sebagai sebuah lagi filem aksi dari Syamsul Yusof selepasEvolusi KL Drift (2008),Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam (2009) dan Evolusi KL Drift 2 (2010).

Begitupun, untuk seorang karyawan muda yang baru tiga tahun mengarah, kemampuan Syamsul semakin memberangsangkan.

KL Gangster bukanlah sebuah filem luar biasa, tetapi tidak juga sangat biasa. Syamsul mengukuhkan 'trademark'nya menerusi filem aksi, meneruskan legasi bapanya, Datuk Yusof Haslam yang sinonim dengan filem-filem serta rangkaian drama jenayah dan kepolisan.

Filem ini mengisahkan Malek, bekas banduan yang inginkan kehidupan 'bersih' selepas lima tahun meringkuk dalam penjara.

Kembalinya lelaki itu membuatkan Shark, samseng muda yang gilakan kuasa tidak senang duduk kerana berasa tergugat, apatah lagi dia yang menyebabkan Malek ditangkap.

Isi cerita inilah yang dikembangkan dengan penampilan watak konco-konco Shark, kumpulan pesaing Shark yang diketuai Dragon serta 'guru' Shark iaitu bapa tirinya, King yang bersahabat dengan Malek.

Penonton juga diperkenalkan kepada karakter-karakter 'putih' yang selalunya tertindas seperti adik perempuan Malek dan ibunya serta watak komedi, Fadil (yang dibentuk baik serta terkawal oleh Zizan).

Konflik ala Hindustan yang membabitkan sibling rivalry turut dipaparkan menerusi watak adik Malek, Jai yang menjadi tali barut Shark.

Berdasarkan sinopsis, plot KL Gangster bukanlah sebuah idea di luar kotak, malah penonton sudah boleh mengagak penamatnya.

Namun, Syamsul mempamerkan kebolehan dan kebijaksanaannya mengolah naskhah lazim ini menjadi sebuah filem hiburan yang cukup sifat dan berlabel box-office.

Syamsul menyampaikan cerita dengan jelas, meskipun tempo filem ini bergerak pantas. Penonton masih diberi ruang untuk menghadam babak demi babak tanpa perasaan tergesa-gesa hasil suntingan yang kemas. Tidak perlu twist atau kejutan, dia menyandarkan aksi lasak sebagai umpan utama.

Aksi-aksi itu dikoreograf kemas dan ditangkap oleh kerja kamera yang efektif. Meskipun ada yang beranggapan filem ini menceduk semangat filem-filem samseng Hong Kong, tetapi 'peniruan' gaya itu dilakukan cemerlang oleh Syamsul. Adegan gasaknya tidak janggal dan tidak nampak dibuat-buat.

Selain aspek teknikal yang menjadi kekuatannya, Syamsul disokong barisan pelakon yang tepat, masing-masing berjaya menyerapi roh watak yang dipegang.

Aaron Aziz sebagai Malek menonjolkan sifat hero tipikal yang hanya mengganas bila 'disentuh' dan mampu mengundang simpati penonton tanpa perlu menangis.

Ady Putra sebagai Jai cukup menjengkelkan (tetapi masih mempunyai sifat kemanusiaan apabila dipaparkan dia memberi wang dan menyelimutkan kanak-kanak yang tidur di tepi jalan), begitu juga dengan Sofi Jikan sebagai Ajib.

Sofi memang sering diberikan watak jahat, tetapi kali ini dia lebih diingati kerana tidak 'over-acting' dan memberi makna, bukan sekadar tempelan.

Malah, Syamsul yang sebelum ini sering dikritik kerana kaku, mewarnakan peranan Shark dengan baik.

Raut wajah, bahasa tubuh dan pertuturannya sepadan, memberikan justifikasi bahawa sebenarnya dia sangat beruntung kerana selaku penulis skrip, dia sewajarnya tahu latar belakang dan selok-belok watak yang diciptanya sendiri.

Penamat filem ini sedikit anti-klimaks apabila Syamsul memilih untuk sekadar memberitahu apa yang berlaku selepas kemuncak pertarungan menerusi voice-over.

Apatah lagi, ia seperti pelajaran moral, memberitahu penonton , sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.

Saya memahami tanggungjawab pembikin filem untuk menyampaikan mesej positif, biarpun tema filem berkisar kepada gangsterisme.

Saya juga memahami betapa fiksyennya adegan-adegan samseng Kuala Lumpur yang secara terbuka menembak dan berbunuh-bunuhan di khalayak ramai.

Saya akui, adegan pembukaan yang memaparkan KLCC membuatkan mood saya terganggu, begitu juga dengan narration Malek tentang betapa bernodanya Kuala Lumpur yang agak lapuk.

Bagaimanapun, Syamsul 'menebus' pengulangan klise itu dengan sebuah hidangan yang menghiburkan.

Perlahan-lahan, Syamsul membuktikan gelaran kontroversi Pengarah Terbaik yang dimenanginya tahun lalu bukan satu anugerah kosong. Dia 'gangster' industri perfileman Malaysia yang berani, harus 'digeruni' dan terus diperhatikan selepas ini.

Thursday, June 9, 2011

X-MEN: FIRST CLASS (2011)

Prekuel kelas pertama

FILEM X-Men: First Class ibarat sebuah buku sejarah yang menceritakan latar belakang setiap karakter dan bagaimana mereka mendapat nama-nama ikonik.


CHARLES Xavier ialah seorang profesor yang pakar dalam bidang genetik. Kehidupannya berubah apabila diperkenalkan dengan sekumpulan manusia mutan yang memperolehi kemampuan luar biasa secara semulajadi.

Selain Raven yang berkebolehan menukar paras rupa, Charles yang mempunyai kuasa telepati juga dipertemukan dengan Erik Lehnsherr, mangsa kekejaman seorang bekas saintis bernama Sebastian Shaw. Erik yang berkuasa memanipulasikan objek metal, mahu menebus dendam ke atas kematian ibunya.

Bagi mencapai cita-cita menakluk dunia, Sebastian menghimpunkan manusia mutan lain seperti Azazel, Emma Frost dan Riptide. Rancangan jahat mereka harus ditentang Charles dengan bantuan Erik, Raven dan anak-anak muda lain seperti Havok, Beast, Darwin, Angel dan Banshee.

X-Men: First Class ialah permulaan cerita kepada trilogi filem X-Men arahan Bryan Singer dan Brett Ratner yang diterbitkan di antara tahun 2000 ke 2006. Di tangan pengarah Matthew Vaughn (Kick Ass, 2010), prekuel ini muncul sebagai naskhah yang pintar, mengujakan, penuh stail dan lakonan yang baik.

Ia ibarat buku sejarah yang menceritakan latar belakang setiap karakter, bagaimana mereka mendapat nama-nama ikonik seperti Professor X, Magneto, Mystique dan sebagainya.

Di sebalik efek khas yang ditampilkan, penonton dapat merasakan sifat-sifat kemanusiaan dalam pembinaan ceritanya, apatah lagi dengan kebijaksanaan penulis skrip yang mengaitkan kebangkitan mutan semasa perang dingin di antara Amerika dan Rusia, serta krisis peluru berpandu Cuba dan kemungkinan Perang Dunia Ketiga sebagai titik masa.

Fokus utama tentang perhubungan dua watak protagonis, Charles (lakonan James McAvoy) dan Erik (Michael Fassbender), menjadikan X-Men: First Class tidak seperti filem-filem adiwira lain.

Charles percaya satu hari nanti masyarakat akan menerima mutan sebagai salah seorang daripada mereka, manakala Erik menganggap mutan akan selamanya dipandang sebagai musuh.

Perdebatan mengenai perang dan diplomasi serta hubungan suka dan benci menjadikan lakonan McAvoy dan Fassbender hidup.

Begitu juga dengan kerapuhan perasaan Hank (Beast), Raven (Mystique) dan Angel yang cuba mencari ruang untuk hidup seperti manusia normal. Nicholas Hault, Jennifer Lawrence dan Zoe Kravitz menjustifikasikan peranan itu sebaiknya, melengkapi tuntunan X-Men: First Class sebagai produk drama aksi.

Sementara itu, Kevin Bacon berjaya melunaskan watak Sebastian seperti yang dikehendaki. Walaupun peranannya agak stereotaip kerana satu dimensi ibarat klon penjahat filem-filem James Bond, ia masih berkesan dan mampu membuatkan penonton menyampah.

Dalam durasi lebih kurang dua jam, penonton disajikan dengan babak-babak pertarungan yang dikoreograf kemas dan dapat memenuhi nafsu peminat filem komik. Kebolehan luar biasa setiap karakter dipamerkan, di antara kepuasan dan ketakutan mereka dalam berdepan dengan masyarakat dan kerajaan.

Sebagai contoh adegan kemuncak yang menjadi kesimpulan filem, di mana setiap mutan digambarkan menggunakan kuasa mereka sepenuhnya dan bagaimana mereka berubah daripada karakter yang putih dan tidak bersalah, kepada kelabu dan hitam untuk menuntut kuasa.

Vaughn berjaya meniupkan hayat baru buat francais terkemuka ini yang dilihat semakin formulaic dan ‘tenggelam’ seperti dalam X-Men: The Last Stand (2006) dan juga filem spin off, X-Men Origins: Wolverine (2009). Prekuel ini mengambil berat tentang kekuatan plot serta memperhalusi asal-usul generasi manusia X.

X-Men: First Class beruntung kerana meraih banyak pujian dan memilih pengarah yang tepat untuk mengemudinya. Seperti judulnya, filem ini sememangnya berada dalam kelas pertama.

Thursday, June 2, 2011

KARAK (2011)


Antara sesat dan seronok

KARAK merupakan filem KRU Studios yang ketujuh dan yang keempat arahan Yusry Abdul Halim.

Sebagai pengarah yang terkenal dengan kehandalannya bermain efek khas, filem ini dilihat sebagai naskhah yang paling minimal dalam aspek tersebut berbanding Cicak-Man (2006), Cicak-Man 2 (2008) dan Hikayat Merong Mahawangsa (2011).

Bagaimanapun, itu tidak bermakna Karak ialah sebuah filem yang mudah dibikin, lebih-lebih lagi apabila jalan cerita dijadikan pertaruhan utama.

Sesuatu yang patut dipuji mengenai KRU ialah kepintaran mereka dalam memanipulasi atau menjenamakan sesuatu yang lama kepada yang baru.

Lihat saja bagaimana Magika (2010) terhasil dengan himpunan karakter-karakter dongeng rakyat yang disatukan dalam sebuah fiksyen moden.

Taktik untuk Karak juga serupa iaitu adaptasi legenda urban lebuh raya itu yang sering didengar dalam pelbagai versi dari satu generasi ke generasi yang lain.

Dari segi pemasaran, ia sangat berkesan kerana idea sebegini sangat dekat dengan masyarakat dan mampu menarik mereka ke pawagam.

Karak 'versi' KRU mengisahkan empat pelajar kolej yang sedang dalam perjalanan pulang ke Kuantan, Pahang dari Kuala Lumpur. Akibat kesesakan menuju ke lebuh raya, Nik, Zura, Jack dan Ida memilih sebatang jalan lama tanpa mengetahui jalan itu berpuaka.

Semasa mereka berhenti untuk mencari tandas, Jack mengalami halusinasi (atau mungkin benar-benar berlaku). Sebagai seorang yang tidak percayakan hantu, dia 'ditemukan' dengan seorang budak berpakaian sekolah yang matanya berdarah dan ibunya, hantu penanggal yang asalnya cantik berkebaya.

Perjalanan menjadi semakin menakutkan apabila kereta mereka diekori Volkswagen kuning tanpa pemandu, tetapi penumpangnya ialah wanita berkebaya tadi. Dan akhirnya kereta mereka terbabas kerana cuba mengelak dari melanggar anaknya yang tiba-tiba berdiri di tengah-tengah jalan.

Terkandas di dalam hutan tebal, mereka tumpang berlindung di sebuah pondok buruk milik Tok Malam. Di situ, mereka mendapat jawapan asal-usul kewujudan hantu yang menganggu mereka - arwah isteri Tok Malam 'membela' makhluk halus - dan empat sekawan itu terus-terusan dikacau kerana lemah iman.

Selaku penulis skrip, Norman Abdul Halim mengumpulkan beberapa mitos lazim lebuh raya Karak untuk dijadikan cerita yang berlaku dalam satu malam.

Malah filem ini juga dimulakan dengan salah satu mitos yang paling popular, iaitu seorang suami yang mencari pertolongan kerana kereta rosak dan meninggalkan isteri serta anak di dalam kereta di tepi hutan.

Tidak dinafikan, babak-babak awal pada 20 minit pertama menimbulkan perasaan kurang selesa pada saya. Yusry berjaya membangkitkan mood seram tipikal sebuah filem hantu di mana penonton berasa cukup debar, di antara mahu menonton atau memejamkan mata, tanpa efek bunyi berlebih-lebihan.

Saya mungkin peminat 'hantu konvensional' yang lebih teruja dimomokkan dengan kelibat dan bayang, serta makhluk yang wujud secara fizikal.

Justeru, apabila rupa hantu-hantu seterusnya diadunkan dengan teknologi imej janaan komputer (CGI), saya berasa sedikit janggal dan lebih menganggapnya sebagai gula-gula mata yang menyeronokkan berbanding menakutkan.

(Amaran: perenggan seterusnya mendedahkan penamat. Jika anda belum menonton filem ini, mungkin anda mahu berhenti membaca.)

Karak diakhiri dengan kejutan. Bagaimanapun, rasanya kejutan itu lebih berkesan dan bermakna jika roh masing-masing digambarkan melihat mayat mereka, bukan hanya Nik dan Zura. Ini penting untuk menunjukkan bahawa di saat itulah baru mereka sedar yang mereka sebenarnya sudah mati.

Tanpa babak itu, saya agak 'sesat'. Jika hanya Zura yang masih hidup, babak-babak tanpa Zura adalah dari 'point of view' siapa? Misalnya, babak Ida mengejar abangnya. Jika itu sebenarnya sekadar roh Ida yang tidak aman, mengapa dia ditunjukkan mati sekali lagi dengan batang kayu terpacak di kepala?

Mungkinkah Norman dan Yusry memang sengaja ingin menimbulkan intrig dengan paparan hantu mengganggu roh-roh yang berkeliaran? Rasanya filem ini boleh menjadi lebih menarik jika kejutannya itu diperkemaskan.

Selebihnya, Karak menepati takrifan filem bertih jagung yang dapat memenuhi cita rasa penonton yang mahu bersantai sambil menyaksikan kisah-kisah yang selama ini hanya menjadi buah mulut. Pemilihan muka-muka baru yang menjadi tunggak utama juga sesuai dan mempunyai keserasian.