Thursday, November 24, 2011

AKU BUKAN TOMBOY (2011)

Tomboy samar emosi

Oleh SYAZWAN ZAKARIAH
syazwan_zakariah@astro.com.my


KONFLIK mula tercetus apabila Isha (Scha AlYahya) menjadi rebutan dua lelaki, Harry (Shaheizy Sam) dan Burn (Syamsul Yusof).


SELEPAS berjaya dengan filem aksi dan seram, di pawagam mahupun di festival, Syamsul Yusof mencuba pula genre komedi.

Pengarah muda ini memilih subjek yang agak tabu sebagai tema penceritaan iaitu kisah wanita yang berkelakuan lelaki dengan gelaran tomboy atau pengkid.

Aku Bukan Tomboy mengisahkan Farisha atau Isha, gadis penghantar pizza yang dibesarkan oleh seorang bapa tunggal. Kerana sikapnya yang kasar dan lasak, dia menjadi buruan wanita lesbian seperti Sam dan Bell.

Namun begitu, Isha sejak awal menolak cinta sejenis kerana masih mempunyai perasaan terhadap lelaki.

Dia bersahabat baik dengan seorang jurujual bernama Harry. Jejaka itu meminati Isha dalam diam, tetapi berasa serba salah. Harry tidak mahu perhubungan platonik mereka terjejas akibat cinta, apatah lagi mereka sudah lama berkawan.

Isha kemudian berkenalan dengan seorang eksekutif muda, Burn secara tidak sengaja. Daripada benci, perasaan bertukar menjadi sayang.

Burn yang lurus bendul melihat Isha sebagai gadis yang berpewatakan tulen. Dia menerima Isha seadanya, seperti mana Isha menerima Burn dengan sifat 'lelaki lembik'nya.

Konflik tercetus apabila percintaan mereka dihalang keluarga Burn yang datang dari golongan berada. Bukan saja disebabkan darjat, tetapi kerana Isha bukanlah contoh menantu yang diangankan.

Dalam masa yang sama Harry patah hati, sementara Sam dan Bell saling bertengkar kerana gagal memiliki hati Isha.

Dalam filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam (2009), Syamsul cuba mencari sebab dan faktor mengapa karakter utamanya menjadi gadis gelandangan. Aspek sosiologi cuba dibedah biarpun tidak mendalam.

Berlainan dengan Aku Bukan Tomboy, sisi psikologi serta latar wataknya tidak dibentangkan. Barangkali kerana filem ini dilabelkan sebagai naskhah romantik yang ringan, Syamsul tidak mahu membuang masa memperincikan setiap karakter.

Dia terus bercerita tentang hubungan di antara watak-watak tersebut, tanpa menyedari pembangunannya sedikit terabai, terutamanya watak Isha.

Bagi saya, sesuatu karakter itu tidak semestinya memerlukan alasan untuk menjadi sebegitu atau sebegini. Saya boleh menerima jika Isha secara semulajadi dilahirkan berpewatakan demikian.

Namun, kesilapan berlaku apabila di dalam satu babak, Isha mengakui ada sebab dia berpenampilan seperti lelaki.

Persoalan itu dibiarkan tergantung sehingga filem selesai. Isha lakonan Scha AlYahya seolah tidak mempunyai pengenalan diri yang kukuh.

Justeru, penonton tidak dapat menangkap emosinya secara jelas, kecuali seorang gadis yang celaru identiti.

Bukanmenidakkan lakonan Scha, karakter Isha sememangnya sangat cocok, seolah dicipta khusus untuknya. Sebagai pelakon, Scha berjaya menutup kekurangan sifat Isha dengan persembahannya yang selamba.

Namun, saya mengharapkan lebih empati untuk Isha kerana filem ini tentang dia.

Saya mengerti jika Syamsul berniat untuk bikin filem sambungan, tetapi penamatnya membuatkan penonton terkejut. Tontonan selama sejam setengah tidak memberikan apa-apa jawapan.

Kemuncak babak Isha dipandang rendah ibu Burn juga gagal membawa impak. Adakah kerana dialog Didie Alias yang melucukan atau kerana adegan itu sengaja untuk tidak membuat penonton bersimpati, saya kurang pasti.

Bagaimanapun, Aku Bukan Tomboy masih seronok ditonton kerana persembahan cemerlang Shaheizy Sam. Watak Harry hidup kerana Sam tidak nampak seperti berlakon.

Dialog-dialog yang dilafazkan seperti kepunyaannya sendiri, dibantu keserasian yang baik dengan Scha. Syamsul juga memberikan warna yang tepat untuk karakter Burn.

Dia bijak menzahirkan sifat lurus bendul kerana tersilap pembawaan, ia mampu menjadi keanak-anakan dan menjengkelkan. Syamsul yang pernah dilabelkan pelakon kaku dan 'kontrol macho' nampak semakin selesa di depan kamera.

Walaupun Salina Saibi berjaya mengubah imej menjadi wanita pengkid secara fizikal, tidak banyak yang boleh diulas mengenai lakonannya.

Pola persembahan dan riak wajah watak antagonis masih serupa. Eira Syazira bagaimanapun menyerlah sebagai setiausaha Burn yang over-the-top.

Sebagai karya ringan, pengarahan Syamsul ringkas. Penonton boleh mengikut cerita dengan mudah, komedinya boleh diterima, tidak menghina dan tidak memperbodohkan penonton.

Cuma pemilihan lokasi semakin predictable kerana kebanyakannya sama dengan filem-filem Syamsul yang lain.

Jika ada ruang untuk diperbaiki dari segi teknikal, mungkin penataan muzik perlu ditekankan dengan lebih serius. Terdapat beberapa skor yang dirasakan sama seperti filem Hollywood, bukan dari segi kualiti tetapi keasliannya. Juga, elakkan efek bunyi slapstik di tengah-tengah dialog kerana sudah tidak relevan.

Mungkin Syamsul sendiri tidak berhasrat meletakkan Aku Bukan Tomboy sebagai material untuk festival. Filem ini sekadar medan uji untuk dia bergelar pengarah versatil. Dari segi hiburan, filem ini tetap lulus untuk tontonan.

Thursday, November 17, 2011

IMMORTALS (2011)

Sekadar manisan


FILEM Immortals ibarat menikmati sepinggan besar manisan.


IMMORTALS bukanlah naskhah Greek pertama yang dimanipulasikan Hollywood pada dekad ini. Kita pernah disajikan dengan Troy (2004), Clash of the Titans (2010), malah mitos itu dibawakan ke dalam era moden seperti adaptasi buku Percy Jackson and the Olympians: The Lightning Thief (2010).

Begitupun, Immortals lebih banyak dikaitkan dengan 300 (2006), bukan hanya kerana diseliakan pengedar dan penerbit yang sama, tetapi corak persembahan. Yang membezakan 300 ialah kisah pertelingkahan dua tamadun manusia, manakala Immortals mengaitkan hubungan manusia dengan dewa-dewa.

Ceritanya berlaku di Hellenas dengan kewujudan seorang raja bernama Hyperion yang bertindak mengikut undang-undang sendiri. Tidak percaya kepada Tuhan kerana sejarah silam, dia mempunyai bala tentera yang sanggup berada di bawah telapak kakinya semata-mata untuk terus hidup.

Hyperion dalam misi memburu sejenis panah sakti yang dipanggil Epirus Bow. Panah itu mampu membebaskan sekumpulan Titans yang terpenjara berabad lamanya di celah-celah dinding Mount Tartaros. Hyperion mahu menggunakan dendam Titans terhadap Dewa Zeus untuk melancarkan peperangan.

Kemunculan seorang lelaki, Theseus merencatkan angan-angan Hyperion. Theseus bukan saja kuat, tetapi dia tidak tunduk kepada arahan. Kematian ibunya di tangan Hyperion menjadikan Theseus lebih perkasa, tanpa mengetahui dia adalah pilihan Dewa Zeus untuk menyelamatkan keadaan.

Saya tidak arif tentang mitos Greek, tetapi seperti apa yang saya baca di Internet, Immortals tidak jujur terhadap perincian sebenar kisah dongeng itu.

Biarpun awal-awal lagi penerbit menjelaskan filem ini hanya berdasarkan mitos Greek secara longgar, namun peminatnya berang kerana penulis skrip dan pengarah hanya menggunakan nama-nama watak tanpa mengikut sahsiah dan latar belakang sebenar.

Sebagai contoh, Theseus dipanggil anak luar nikah dan seorang petani. Mengikut buku, dia ialah anak raja Athens atau Aegean. Dewa Zeus pula tidak pernah membunuh, manakala Titans adalah sekumpulan makhluk yang pintar, tidak bercawat dan liar seakan monyet seperti yang digambarkan.

Itu antara perbandingan dan perdebatan yang tercetus. Pada saya, ini bukanlah perkara baru di Hollywood. Lesen kreatif pembikin filemnya terlalu besar. Mereka mampu mengubah apa saja, bukan sekadar fakta dan sejarah, atas nama seni dan hiburan. Mereka ingin mencipta dunia lain dan mahu penonton percaya.

Sebagai pengarah, Tarsem Singh (The Cell, 2000) beruntung kerana dibantu kumpulan pereka produksi yang baik dan efisien.

Mereka mampu menafsirkan dunia mitos dengan penuh gah menerusi set, kostum dan ilustrasi efek yang menawan. Setiap bingkai diperincikan dengan teliti, meskipun terdapat beberapa babak latar atau pemandangan yang kelihatan sedikit 'arty' seperti lukisan.

Walau bagaimanapun, menonton Immortals ibarat menikmati sepinggan besar manisan. Walaupun kita habis memakannya, kita akan tetap berasa lapar. Ertinya filem ini sekadar indah di luaran, tetapi tidak cukup berisi. Perjalanan filem bergerak dalam kadar yang agak membosankan.

Benar, ada adegan pertarungan yang menangkap perhatian. Ada juga lelaki bertubuh sasa tidak berbaju yang sentiasa mundar-mandir sebagai gula-gula mata buat penonton wanita. Namun ia belum cukup untuk menutup kekurangan penceritaan dan sifat-sifat karakter yang tidak membangun.

Mungkin untuk memudahkan penonton memahami jalan cerita, penulis skrip Charley Parlapanides dan Vlas Parlapanides mengambil pendekatan yang lurus. Tiada kejutan atau sebarang misteri, secara asasnya kita sudah boleh mengagak apa yang akan berlaku dan bagaimana ia berakhir selepas 15 minit pertama.

Prestasi lakonan berada pada tahap biasa saja. Henry Cavill, pemegang watak baru filem Superman, sekadar kelihatan hebat dari segi fizikal. Dia hanya berdiri tampan sebagai Theseus tetapi emosinya sukar dicapai, lebih-lebih lagi semasa babak dia memberikan 'big speech' kepada pasukan tentera.

Cavill tidak menyerap semangat keperwiraan seperti yang dilakonkan Russell Crowe dalam Gladiator (2000) misalnya. Lebih-lebih lagi apabila dia digabungkan dengan aktor senior seperti Mickey Rourke. Cuma Rourke sudah menjadi stereotaip apabila terlalu selesa dengan karakter antagonis.

Saya tidak berniat untuk membangkitkan soal kaum, tetapi pemilihan Freida Pinto sebagai Phaedra, gadis suci Oracle yang boleh menilik masa depan, agak janggal. Kerana ini kisah mitos Greek, kehadirannya sebagai pelakon yang memiliki darah India seperti tidak kena pada tempat.

Tidak banyak yang boleh diperkatakan mengenai persembahannya, kecuali saya merasakan Pinto dipilih kerana pengarah atau penerbit mahukan lebih variasi.

Thursday, November 10, 2011

THE ADVENTURES OF TINTIN (2011)

Pengembaraan cemerlang

MENURUT Wikipedia, Herge atau nama sebenarnya Georges Remi percaya, jika ada pengarah yang mahu bikin filem Tintin, Steven Spielberg adalah satu-satunya orang yang paling sesuai.

Spielberg yang juga peminat komik itu, membeli hak cipta daripada pelukis tersebut selepas kematiannya pada 1983. Selepas melalui pelbagai proses lebih dua dekad, akhirnya Tintin versi filem berjaya direalisasikan.

Dibantu kepakaran Peter Jackson (The Lord of the Rings, 2001-2003) yang bertindak selaku penerbit, filem yang menggunakan tajuk The Adventures of Tintin ini menggunakan teknik performance capture seperti mana Avatar (2009).

Tiga penulis lakon layar dari Britain, Steven Moffat, Edgar Wright dan Joe Cornish diberi tanggungjawab yang hampir mustahil untuk dilaksanakan.

Untuk tempoh tayangan dua jam, mereka harus menggabungkan tiga album komik sekali gus iaitu The Crab with the Golden Claws, The Secret of the Unicorn dan Red Rackham’s Treasure.

Kisah bermula apabila Tintin membeli sebuah model kapal layar di sebuah pasar. Dia didatangi dua orang yang mahu membeli semula daripadanya – seorang menasihatkannya supaya berjaga-jaga, manakala seorang lagi menawarkan harga yang jauh lebih tinggi.

Menyedari kapal itu menjadi rebutan, Tintin enggan menjualnya dan cuba mencari jawapan. Tintin kemudian diculik dan kapalnya dicuri.

Pertemuannya secara tidak sengaja dengan Kapten Haddock menjadikan mereka pelarian dalam meneruskan misi untuk membongkar rahsia di sebalik kapal tersebut.

Pada saat filem dibuka, mood dan suasana misteri berjaya dirasai. Dengan lukisan animasi yang teliti dan sangat halus, penonton dibawa bersama ke alam pengembaraan Tintin yang penuh menyeronokkan. Penceritaan yang bergerak pantas menjadikan penonton leka dan tiada ruang untuk merasa bosan.

Barangkali Herge dan Spielberg berkongsi visi yang sama kerana Tintin juga seperti Indiana Jones (1981-2008).

Kedua-dua hero ini mencari harta karun; di mana mereka mempunyai sedikit pembayang, manakala pembayang yang separuh lagi ada pada penjahat. Mereka juga terpaksa mengelilingi dunia menggunakan apa saja medium pengangkutan untuk menjayakan misi yang dicapai.

The Adventures of Tintin adalah bukti betapa dahsyatnya teknologi perfileman moden. Peminat animasi pernah dikagumkan dengan teknik motion-capture dalam hasil kerja Robert Zemeckis seperti The Polar Express (2004) dan A Christmas Carol (2009). Namun, Tintin menjangkaui lebih daripada itu.

Penonton seolah-olah terlupa bahawa apa yang disaksikan sekadar satu helah digital. Sama ada di lautan dengan kapal besar dan sampan; di udara dengan helikopter; menunggang unta di padang pasir atau babak kejar-mengejar di daratan – segalanya kelihatan realistik.

Tanpa ragu, ini adalah kerja animasi terbaik tahun ini dan bakal melalui jalan yang mudah untuk ke anugerah Oscar.

Kecemerlangan itu bukan saja diukur dengan kecanggihan imej komputer yang dicipta, tetapi skrip yang ditulis kemas dengan dialog-dialog yang jelas difahami, lebih-lebih lagi kanak-kanak.

Penulis lakon layar bijak memadatkan kesemua latar belakang cerita dan watak. Misalnya, identiti Tintin sebagai seorang wartawan, tetapi tidak perlu digambarkan dia bekerja dengan siapa, untuk akhbar mana atau menunjukkan babak dia menggunakan mesin taip.

Penonton hanya diberitahu apa yang mereka patut tahu dan cara itu berkesan untuk filem ini.

The Adventures of Tintin juga menyaksikan kembalinya kerjasama di antara Spielberg dan komposer John Williams untuk skor muzik yang efektif.

Williams ialah orang yang bertanggungjawab menata muzik bagi sekian banyak siri filem blockbuster seperti Jaws, Star Wars, Indiana Jones dan Harry Potter.

Sebagai Kapten Haddock, Andy Serkis mengulangi kehebatannya sebagai pelakon performance capture terunggul selepas menjadi Gollum dalam siri filem The Lord of the Rings dan Caesar dalam Rise of the Planet of the Apes (2011).

Peranan Haddock yang kaki mabuk tetapi bersemangat waja berjaya diadunkan menerusi gerak laku sebenar dan lukisan animasi yang ‘bernyawa’.

Daniel Craig juga menyerlah sebagai lanun Sakharine, manakala Simon Pegg dan Nick Frost memberi keseronokan pada watak detektif Thomson dan Thompson.

Tidak dilupakan ialah anjing Snowy yang menjadi sidekick Tintin. Snowy ialah karakter yang mula-mula dibina untuk projek ini dan hasilnya amat mengujakan.

Meskipun Jamie Bell adalah pilihan kedua selepas Thomas Sangster menarik diri, dia berjaya memberi justifikasi untuk watak Tintin. Usia sebenar Bell ialah 25 tahun, namun Tintin di tangannya kelihatan dan ‘kedengaran’ jauh lebih muda. Tintin seharusnya begitu, satu karakter yang timeless dan tidak dimakan usia.

Jika Herge masih hidup hari ini, dia pasti berbangga. Nalurinya tentang keupayaan Spielberg ternyata tepat apabila pengarah tersohor itu mampu membawa dunia ciptaannya ke layar perak dengan penuh stail.

Thursday, November 3, 2011

IN TIME (2011)


Muslihat masa

TIDAK jauh dari zaman sekarang, jangka hayat manusia akan terhenti sehingga 25 tahun. Dipantau menerusi jam digital yang tertanam di lengan masing-masing, mereka berhak hidup lebih lama jika mampu membeli masa.

Pada zaman ini, masa ialah mata wang yang digunakan dalam sistem jual beli, mahupun ganjaran bagi sebarang pekerjaan. Golongan yang kaya mampu hidup lebih lama dengan paras rupa yang tidak dimakan usia, sementara yang miskin bergantung hidup dari hari ke sehari dan saat demi saat.

Seperti Will Salas, seorang pekerja kilang dari Dayton yang menjadi buruan polis atau pada era ini dipanggil penyimpan masa, kerana didakwa membunuh.

Salas dituduh merompak jangka hayat seorang hartawan, Harry Hamilton yang ditemui mati di bawah jambatan. Walaupun dia tidak bersalah kerana menerima hadiah daripada Hamilton, tiada siapa yang mahu percaya akibat birokrasi. Hamilton ialah jutawan manakala Salas golongan bawahan.

Bermulalah pelarian Salas yang ditemani Sylvia Weis, anak golongan berada yang dikenalinya semasa dia bermewah-mewah di kawasan elit New Greenwich.

Pada mulanya Weis adalah tebusan Salas, namun perhubungan mereka bertukar kepada misi yang sama, yakni memperjuangkan strata kehidupan yang lebih adil.

Jika anda merasakan premis In Time adalah asli seratus peratus, sila rujuk filem Logan's Run (1976), di mana manusia hanya dibenarkan hidup sehingga usia 30 tahun sebelum dijejaki untuk mati.

Manakala kisah pelarian yang tidak bersalah sudah banyak dipaparkan dalam genre sains fiksyen; antaranya Minority Report (2002) dan The Island (2005).

Di tangan Andrew Niccol, dunia In Time adalah futuristik, tetapi intipatinya mengingatkan kita kepada kisah klasik seperti Robin Hood - perompak yang membantu golongan susah; serta Bonnie and Clyde - sepasang penyamun dengan unsur romantisme.

Filem ini mengingatkan saya kepada filem lain arahan Niccol, Gattaca (1997), tentang bagaimana seseorang yang kuat secara genetik mampu ditewaskan oleh kebijaksanaan sains ciptaan manusia.

In Time berkongsi konsep serupa, di mana mereka yang dilahirkan miskin tidak selamanya tunduk di bawah kekuasaan golongan kaya.

Niccol yang turut bertindak selaku penulis skrip berjaya membuatkan penonton percaya dengan apa jua tipu muslihatnya.

Mungkin timbul sedikit persoalan di sana sini tentang mekanisme sebenar peralihan masa. Sebagai contoh, bagaimana jam digital boleh tertanam di lengan sejak lahir atau perkongsian usia yang boleh dilakukan hanya melalui sentuhan.

Namun, perincian-perincian kecil seperti itu mudah diabaikan penonton kerana isi ceritanya yang pintar secara makro. Dengan set, props, efek khas serta skrip yang baik, kita benar yakin akan kewujudan dunia pasca moden ciptaan Niccol.

Justin Timberlake membuktikan dia bukan sekadar daya penarik penonton muda untuk ke pawagam. Keupayaannya di dalam filem ini jauh lebih besar daripada pesonanya sebagai penyanyi pop dan bekas anggota kumpulan 'N Sync.

Dia tidak memiliki ciri-ciri wira seperti Daniel Craig sebagai James Bond, tetapi dia seperti Tom Hanks, orang biasa yang mempunyai aura semangat lelaki sejati.

Dia memberikan warna kepada peranan Salas dengan penuh stail, kelihatan di antara miskin dan kaya, serta selamat dan merbahaya pada masa yang sama.

Amanda Seyfried mengimbangi lakonan Timberlake dengan keserasian sebagai Weis. Karakter menarik itu melalui transisi daripada seorang gadis kaya yang lemah kepada penegak keadilan.

Sementara itu, Cilian Murphy sebagai polis penjaga masa dan Alex Pettyfer sebagai peragut yang dipanggil Minuteman, menjadi antara pelakon sokongan paling menyerlah.

In Time adalah sebuah filem yang menghiburkan. Ia membenarkan fikiran kita menepis segala logik menerusi pengembaraan Salas dan Weis, serta manusia-manusia yang berusia 25 tahun selamanya.

Mungkin filem ini tidak akan menjadi karya yang bakal dikenang sepanjang zaman, tetapi ia berbaloi dengan harga tiket yang dibayar. Inilah kelebihan Hollywood yang harus dipelajari pembikin filem kita untuk 'make believe' sesuatu alam atau dimensi yang sebenarnya dongeng semata-mata.