'Permainan video' dari Peter Jackson
Oleh Syazwan Zakariah
syazwan_zakariah@astro.com.my
syazwan_zakariah@astro.com.my
Saya seperti merasakan Jackson berkuasa penuh terhadap pembikinan trilogi The Hobbit (yang asalnya hanya dua bahagian, tetapi dipanjangkan dipercayai atas faktor keuntungan). Ini bererti penerbit mahupun penulis âtundukâ dengan keinginan Jackson serta tidak mahu atau tidak berani mencabar keputusannya.
The Desolation of Smaug meneruskan kembara insan-insan kenit bersama Bilbo Baggins (Martin Freeman) dan Gandalf the Grey (Ian McKellen) bagi merebut semula tanah warisan Erebor yang dimiliki naga Smaug. Rentetan terdahulu, Bilbo menyimpan sebentuk cincin misteri yang mempunyai kuasa ajaib.
Jackson âmencampakkanâ apa saja visinya ke layar perak tanpa mengira babak itu penting atau tidak untuk jalan cerita. Apa saja impiannya â set yang lebih mewah, solekan prostetik yang lebih tebal, karakter-karakter âkomedi badutâ dengan lebih masa tayangan â semuanya diwujudkan.
Pernah menang Pengarah Terbaik Oscar menerusi filem terakhir The Lord of The Rings: The Return of the King (2003), Jackson seharusnya lebih arif dengan cara pembikinan filem yang hebat dan disegani. Biarpun ia sebuah filem aksi fantasi, ia mesti dibina dengan karakter dan jalan cerita yang kukuh.
Benar, The Hobbit asalnya hanyalah sebuah buku cerita kanak-kanak yang nipis yang kini dipanjangkan kepada tiga episod filem dengan setiap satu berdurasi paling kurang dua jam. Begitu pun, ia bukan alasan untuk Jackson dan pasukan penulis menafikan pengisian cerita dan konteks emosi karakter-karakter utama.
Apa yang terjadi dalam sekuel kedua The Hobbit ini ialah keriuhan dan ekstravaganza visual dan bunyi semata-mata tanpa penonton (sekurang-kurangnya bagi saya) untuk benar-benar mempedulikan apa yang terjadi kepada watak-watak di dalamnya.
Barangkali misi Jackson untuk naskhah kali ini agak berlainan apabila dia mahu memberikan hiburan kosong seperti mana dia membikin semula King Kong (2005). Lawak slapstik dengan babak-babak aksi berlangsung hampir sepanjang filem. Dialognya mudah dilupakan dan klise, diiringi muzik latar yang dramatik.
Saya menantikan babak-babak untuk saya terdiam, berkongsi dan menyelami perasaan dengan mana-mana karakter seperti yang dirasai dalam trilogi The Lord of the Rings, tetapi sayangnya tidak berlaku. Saya hanya menonton naratif sebuah permainan video dan bukan cereka dongeng seperti yang dibayangkan.
Ibarat sebuah kek, Jackson lebih menumpukan kepada dekorasinya berbanding isi dan rasa. Fokus kepada visual dan audio menenggelamkan keseluruhan cerita dan pembangunan karakter Gandalf, Bilbo dan Thorin selaku teraju utama, apatah lagi sekumpulan Hobbit dan Elves yang dilayan sekadar pak pacak.
Saya tidak menafikan terhibur dengan kemunculan naga Smaug yang visualnya dihasilkan dengan teliti, apatah lagi menggunakan suara Benedict Cumberbatch. Aktor ini mempunyai nada dan gema suara antagonis yang sangat cocok dengan ciri-ciri Smaug menjadikan ia seronok untuk disaksikan.
Demi untuk âmengekalkanâ keseronokan itu, penonton harus melupakan tenaga dan kuasa besar yang dimiliki Smaug untuk menghapuskan Bilbo dan rakan-rakannya dalam sekelip mata. Dalam kes ini, mereka bermain kejar-kejar untuk jangka masa yang lama sehinggalah penamat cerita yang dibiarkan tergantung.
Kehadiran watak baru, Tauriel (lakonan Evangeline Lilly) sebagai teman wanita Legolas (Orlando Bloom) dan kemudian mencetuskan konflik cinta tiga segi membabitkan Kili (Aidan Turner) hanyalah untuk membeli masa. Sekurang-kurangnya Jackson cuba untuk merencah fantasi ini dengan elemen romantik.
Mungkin peminat tegar Tolkien tidak sabar untuk menyaksikan filem terakhirnya, The Hobbit: There and Back Again yang dijadualkan tayangan Disember 2014. Bukan kerana teruja, tetapi kerana mahu âpenyelewenganâ naskhah asalnya segera dihentikan dan reputasi Jackson tidak terus rosak.